Saturday, January 29, 2011

Shy shy Cat

      Peribahasa Melayu adalah merupakan warisan nenek moyang yang ditinggalkan kepada generasi zaman berzaman sebagai salah satu pembawaan budaya agar tidak lapuk di hujan, tidak lekang dek panas. Peribahasa dicipta untuk mengaspreasiasikan perasaan atau pemikiran manusia penggunanya. Sememangnya adat bagi masyarakat Melayu iaitu mementingkan kesopanan termasuk dalam aktiviti berbahasa. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa peribahasa adalah bahasa halus masyarakat Melayu tradisional. Baiklah, rasanya cukup sebagai penerangan ringkas mengenai peribahasa. Mari kita terjah isu pengisi lapangan penulisan sosiolinguistik ini.

      Berpunca daripada peredaran masa yang telah menyebabkan berlakunya percampuran budaya termasuk bahasa dalam masyarakat dunia kini. Tidak perlu melihat jauh. Cuba kita tumou pada perilaku bahasa manusia terutama masyarakat Melayu dewasa kini yang mempraktikkan bahasa rojak. Bahasa rojak? Ya! Bahasa rojak merupakan percampuran bahasa ibunda dengan bahasa asing. Terus kepada isunya; percampuran antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. 

      Bahasa rojak dikatakan sebagai perlambangan kebijaksanaan seseorang yang kononnya pandai berbahasa Inggeris selain berbahasa Melayu. Ironinya, bahasa rojak sebenarnya mencerminkan rendahnya pendidikan seseorang itu sehinggakan berlakunya sebuah kejadian ini. Saya telah diceritakan bahawa ringkasnya, terdapat peristiwa di mana dalam sebuah karangan bahasa Inggeris terhasilnya frasa 'shy shy cat'. Memalukan apabila ditafsirkan, frasa ini menjadi sebuah peribahasa Melayu iaitu 'malu-malu kucing'. Telah berlakunya kesalahan yang sukar untuk dimaafkan di situ. Salahnya, apabila peribahasa Melayu telah diinggeriskan sehingga melenyapkan kesopanan dan makna aslinya. 

      Tidak tahu punca kejadian ini. Namun, boleh dikatakan bahawa bahasa rojak merupakan salah satu faktor kejadian ini. Penggabungan bahasa yang menjadi kebiasaan telah menimbulkan kekeliruan sehingga membawa kepada kejadian 'shy shy cat' ini. Hal ini perlu diperbetulkan oleh para guru bahasa supaya para pelajar pelbagai kaum di negara ini tidak keliru dang celaru dengan bahasa sendiri. Selamatkan bahasa kita.

Friday, January 28, 2011

Kucing dengan Bahasanya.

      Satwa. Pelik bukan? Mungkin kita tidak biasa mendengar perkataan ini. Namun, satwa sebenarnya bermaksud binatang dalam bahasa Indonesia. Sekadar ingin menambahkan kosa kata. Binatang adalah meriupakan makhluk Tuhan yang juga memiliki bahasanya tersendiri. Hal ini perlu kerana binatang sesama mereka juga mempunyai komunikasi untuk berhubung. Binatang dengan binatang pasti memahami bahasa mereka terutamanya bagi binatang yang sama jenisnya. Persoalannya, bagaimana pula kaitannya dengan manusia? Adakah manusia boleh memahami bahasa binatang?

      Selepas kelas EDU tamat di bilik kuliah fakulti Muzik tamat, saya dan rakan sekelas, Anah mengambil masa sedikit untuk menunggu Enie dan Ida yang menunaikan solat di surau. Semasa menunggu, kami didatangi oleh seekor kucing yang sememangnya sudah hadir sejak dari sesi pembelajaran tadi berjalan. Kucing yang sarat mengandung itu mengeluarkan bunyi dan cuba mengambil simpati Anah. Maaf, saya alah pada kucing. Seperti memahami, kucing tersebut tidak menghampiri saya, sebaliknya kepada Anah. Anah juga sepertinya tidak kekok melayan kucing itu.
       Sedang asyik menyaksikan perlakuan Anah dengan kucing tersebut, terfikirlah saya bahawa manusia juga boleh memahami bahasa binatang. Seperti apa yang sedang saya lihat, kucing itu merapati Anah sambil mengiau tidak sudah. Anah dapat memahami bahawa kucing tersebut meminta makanan untuk dirinya. Namun, sayang sekali kami berdua tidak mempunyai sebarang makanan untuk diberi. Dengan suara yang lembut, Anah berkata kepada kucing itu bahawa dia tidak mempunyai makanan. Seperti memahami, kucing tersebut berlalu pergi.
      Kehidupan di dunia ini menyaksikan perkongsian hidup antara manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan segala macam makhluk ciptaan Tuhan. Perkongsian ini memerlukan kita sesama makhluk haruslah saling hormat menghormati antara satu sama lain. Komunikasi yang berlaku haruslah difahami agar kita dapat hidup aman sentosa kerana kita juga masing-masing memerlukan antara satu sama lain untuk meneruskan hidup kita.

Monday, January 24, 2011

Sama Tetapi Tak Serupa

      Sebuah seminar mengenai Isu-isu Sosiolinguistik Bahasa Melayu Semasa yang berlalu pada 21.01.2011 telah mewujudkan pertemuan pertama antara saya dengan penceramahnya iaitu  Yang Berbahagia Prof. Awang Sariyan. Beliau merupakan seorang Pemegang Kursi Pengajian Melayu, Beijing Foreign Studies University (BFSU). Syukur Alhamdulillah, kerana sebelum ini saya belum sempat untuk bertemu sendiri dengan tokoh bahasa ini. Telah banyak berlaku asporasi ilmu sepanjang majlis itu berlangsung. Namun, perkara yang paling menarik yang memberi kesan ingatan kepada saya ialah apabila penceramah memulakan kata-katanya dengan melahirkan ayat-ayat iaitu Ni hao ma? dan Ni chi bao le ma? yang ditujukan kepada hadirin.

      Tidak mustahil untuk Prof. Awang Sariyan berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Mandarin, kerana beliau sememangnya bertugas di Beijing. Ayat pertama yang dilafazkan adalah bermaksud Kamu apa khabar? dan ayat kedua adalah Kamu sudah makan? Mengapa perlu ditanya sama ada kami sudah makan atau belum? Mengapa tidak ditanya mengenai hal-hal selain itu?

       Menurut Prof. Awang Sariyan, semasa tinggal di Beijing, penduduk di sana pasti akan bertanyakan sama ada seseorang yang dijumpainya itu sudah makan atau belum. Hal ini sudah menjadi kebiasaan iaitu sebagai kata sapaan apabila bertemu dengan orang yang dikenali. Bagi menampakkan perbezaannya, mari kita lihat contoh kata sapaan yang berikut;

           Orang Melayu Islam : Assalamualaikum
           Orang negara China  : Ni chi bao le ma?

      Ayat Ni chi bao le ma? telah menjadi seperti kata sapaan bagi mereka yang bertemu dengan seseorang yang dikenali. Namun, sebenarnya orang yang bertanyakan soalan itu tidak bermaksud untuk benar-benar mengetahui sama ada seseorang itu sudah makan atau belum. Ni chi bao le ma? sudah menjadi pemanis mulut dalam kalangan masyarakat di sana iaitu ayat yang dilafazkan semasa bertemu dengan seseorang.

     Hal ini sama seperti apa yang berlaku dalam kalangan anak-anak muda di Amerika Syarikat. Apabila bertemu dengan rakan-rakan, mereka akan menyebut What's up. Frasa what's up [apa di atas] sebenarnya tidak memberi sebarang makna melainkan hanya sebagai pemanis mulut yang akan dijadikan permulaan kepada sesuatu komunikasi.

      Perkara ini telah menunjukkan bagaimana sesuatu masyarakat itu membezakan diri mereka dengan masyarakat yang lain. Bukan niat mereka untuk membeza-bezakan, tetapi hal ini telah menjadi identiti kepada sesuatu masyarakat. Namun begitu, pada pendapat saya sendiri, lebih mulia seseorang terutamanya penganut Islam mengucapkan salam apabila bertemu seseorang. Assalamualaikum bermaksud sejahtera ke atas kamu iaitu merupakan doa yang positif kepada mereka yang dijumpai. Apa-papun, begitulah hubungannya antara bahasa dan masyarakat penuturnya.

        Penceramah bergambar dengan para pensyarah dan sebahagian pelajar UPSI.

Saturday, January 22, 2011

Retorika

     Jakel merupakan pusat menjual kain-kain sama ada yang sudah siap dijahit mahupun tidak. Jakel mula ditubuhkan di negeri Johor dan kini telah memiliki beberapa buah cawangan di serata Malaysia. Terbaru, pusat perniagaan Jakel yang terbesar telah dibuka di Shah Alam, Selangor. Kesempatan yang ada telah diisi  untuk ke Jakel oleh ibu, kakak, dan diri saya sendiri iaitu pada hari Sabtu yang lepas. 

 Pelbagai jenis kain yang ditawarkan di Jakel

      Hajatnya ingin meninjau kain-kain yang sesuai untuk majlis nikah. Tujuan ingin meninjau-ninjau telah bertukar apabila berlakunya pergolakan retori di pusat tersebut. Saya katakan pergolakan kerana terdapat ramai staf yang bekerja di sana. Mereka semua memang pandai beretorik!

     Retorik secara ringkasnya bermaksud penggunaan bahasa dengan tujuan untuk memujuk dan mempengaruhi orang lain. Hal yang dilakukan oleh para staf di Jakel adalah mereka sangat pandai memujuk dan mempengaruhi pelanggan untuk membeli produk mereka. Kepandaian mereka sehinggakan seseorang yang tidak mempunyai niat membeli, pasti akan terpesong dari niatnya itu. Pandai mereka menggunakan teknik seperti umpan di mana umpan yang digunakan adalah seperti tawaran istimewa, potongan harga, hak keistimewaan dan layanan yang sungguh ramah. Begitulah keadaan di Jakel. Sukar untuk seseorang itu masuk ke dalam bangunan, dan keluar dengan tangan kosong.

     Entahlah. Sukar hendak dikatakan sama ada retorik ini bagus atau tidak. Walau bagaimanapun, setiap perkara itu ada pro dan kontranya. Dalam konteks ini, pro adalah berpihak kepada pekedai. Keuntungan akan berpihak kepada mereka apabila pelanggan membeli barangan mereka. Pro juga kepada pembeli kerana boleh mendapat barangan yang mereka inginkan. Namun, hal ini akan menjadi kontra apabila barangan yang dibeli itu adalah sebenarnya tidak perlu! Bahkan, mungkin hanya akan menjadi pembaziran.

     Oleh itu, kita sebagai pengguna harus bijak mengawal emosi dan minda untuk menentang retorik apabila tidak perlu. Bukan salah pekedai apabila mereka juga mencari sesuap nasi dengan melalui retorik yang mereka cipta. Membeli hanya apabila perlu, dan beringatlah kita untuk tidak membazir.

Tawaran yang sukar ditolak.


Friday, January 21, 2011

Jelantah?

     Sangkaan saya bahawa Hafiz Md. Nor bertugas sebagai AJK makanan untuk Seminar Sosiolinguistik yang baru sahaja berlalu pagi tadi ternyata meleset sama sekali. Mana tidaknya, selalunya apabila terdapat sesuatu program, Hafizlah yang menjadi ketua AJK makanan. Mungkin juga disebabkan kreadibiliti beliau telah menyebabkan jawatan tersebut sesuai dengannya. Namun, bukan untuk kali ini. Ternyata masa yang diluangkan bersama segelintir rakan di tempat makan selepas majlis berakhir, memberikan sesuatu pengajaran baru buat saya. Mungkin nampak kecil, tetapi bermakna. 

     Manusia sering melakukan kesilapan. itulah lumrahnya. Hal ini turut terjadi apabila nasi yang kami terima dari pihak kedai makanan agak sedikit mentah. Bukan semuanya mentah, tetapi terdapat bahagian-bahagian yang tidak masak. Namun, apabila saya menyebut mentah, hal ini disanggah oleh Hafiz dengan menyatakan bahawa perkataan yang sebetulnya cocok dengan keadaan itu ialah jelantah. Jelantah? Apakah maksudnya? Menurut Hafiz, jelantah adalah bermaksud apabila nasi tidak masak semua, iaitu hanya beberapa bahagian sahaja yang tidak masak. Menurutnya lagi, mentah tidak boleh digunakan untuk keadaan itu kerana mentah bermaksud semua bahagian beras tidak masak. 

                           Contoh Nasi Tomato

     Barulah kini saya mengetahui hal ini. Terima kasih buat Hafiz Md. Nor yang telah menambah kosa kata saya.

Thursday, January 20, 2011

bahasa Melayu VS bahasa Inggeris

     Perbualan bukan selalunya akan berakhir sebagai cakap-cakap kosong sahaja. Sebaliknya, ada yang bermanfaat dan dapat menyebabkan perkongsian maklumat berlaku. Sembang-sembang dengan rakan sekuliah iaitu Nur Azwani (Wani) telah menyuntik sesuatu perasaan yang kurang enak.

     Hal ini berlaku sebaik sahaja Wani bercerita mengenai situasi yang dia hadapi semasa di dalam lif di Kolej Harun Aminurrashid. Dipendekkan cerita, terdapat beberapa pelajar Tesl. berbangsa Melayu (Maaf jika tidak menyorokkan maklumat ini) yang berkomunikasi sesama mereka menggunakan bahasa Inggeris. Tidak salah, kerana bahasa Inggeris harus dipelajari. Namun, perkara yang kurang enaknya adalah apabila mereka tanpa segan silu merendah-rendahkan penggunaan bahasa Melayu. Mungkin saya tidak tahu dengan lengkap apakah butir bicara mereka, tetapi begitulah maklumat yang saya terima. Kesal rasanya.

     Professor Emeritus Abdullah Hassan pernah berkata, sombonglah kita ketika berbahasa. Namun, sebaliknya yang berlaku terhadap mereka ini. Mereka seolah-olah memijak bahasa sendiri. Sungguh menyedihkan apabila telah nampak bahasa Melayu mula ditinggalkan oleh bangsanya sendiri. Tidak ada rasa sayang terhadap bahasa sendiri seolah-olah menampakkan tiada semangat patriotisme dalam diri mereka. Bahasa penentu ketamadunan sesebuah negara. Tiada bahasa, tiada tamadun, musnahlah negara. Mereka harus sedar itu.

     Tesl. bukanlah tiket untuk seseorang itu meninggalkan bahasa ibundanya. Perkara ini hanyalah sesuatu bidang ilmu yang perlu dipelajari, dipraktikkan, tetapi bukan untuk diagungkan. Oleh itu, semangat jati diri perlu ada pada diri setiap rakyat Malaysia tidak kiralah apa bangsanya kerana bahasa Kebangsaan kita ialah bahasa Melayu. Saya akhiri dengan kata-kata, bahasa asing dipelajari, bahasa ibunda dimuliakan. 


Sunday, January 16, 2011

Caknanya Dyana

     Mungkin tidak ramai yang mengetahui apakah maksud perkataan cakna itu. Saya sendiri sebelum ini tidak pernah terdengar atau terjumpa perkataan ini. Namun, sekali lagi, Dr. A. Halim Ali telah menjadi sumber ilham kepada saya untuk menghasilkan tajuk blog ini. Kata beliau, cakna adalah sama erti dengan prihatin. Oleh itu, Caknanya Dyana boleh dikatakan sebagai prihatinnya Dyana atau juga keprihatinan Dyana. Bukan mahu menjadi seorang yang terlalu ambil berat akan hal-hal yang terdapat di dalam dunia,tetapi keprihatinan saya di dalam blog ini terasnya adalah terhadap penggunaan bahasa Melayu di sekitar saya. Itulah sebenarnya tujuan lapangan penulisan ini diwujudkan.

     Dyana mahu tunjuk kecaknaannya. Anugerah Juara Lagu yang ke-25 telah melabuhkan tirainya kira-kira seminggu yang lepas. Namun, bahang kehangatannya masih terasa kini dek kerana ramai yang mempersoalkan kejuaraan lagu Tolong Ingatkan Aku dari penyanyi yang sedang meningkat namanya, Ana Rafali. Bukan itu sebenarnya yang menjadi isu saya  pada kali ini. Ada yang lain. Mungkin saya tidak terlalu ambil kisah tentang AJL 25 ini, tetapi semasa pengumuman pemenang, saya sempat duduk di depan kaca televisyen untuk mengetahui siapakah bakal juara kali ini. Sebelum itu, para pengacara sempat menyebut hadiah-hadiah yang bakal dimenangi oleh para pemenang. 

    Sayang seribu kali sayang, terdapat pada suatu ketika, skrin kaca memaparkan 'Piala berserta wang tunai'.Terdapat kesalahan tatabahasa di situ iaitu perkataan 'berserta'. Bagi perkataan dengan kata dasarnya yang mempunyai 'r' pada suku kata awalnya tidak boleh menerima imbuhan awalan 'ber'. Sepatutnya perkataan tersebut adalah 'beserta'. Hal ini sama juga dengan perkataan seperti 'bekerja'.

     Perkara ini agak memalukan apabila ayah saya sendiri turut menegur kesalahan tersebut. Saya berpendapat bahawa pihak televisyen sepatutnya mempunyai badan yang memantau penggunaan bahasa mereka. Hal ini demikian kerana televisyen adalah wadah utama untuk menyampaikan maklumat kepada para penerima. Oleh itu, kesalahan yang dilakukan mungkin akan menjadi ikutkan bagi mereka yang tidak mengetahui hal ini. Semoga perkara ini tidak akan berulang lagi.

Mari kita dengar dan nilai kejuaraan lagu ini. Hanya sebagai sisipan.

Wednesday, January 12, 2011

Pembukaan Tirai

Salam semua! 
     Mari kita buka mata, kita buka hati. Tujuan menulis blog adalah untuk kita berkongsi perkara-perkara seharian dengan tujuan bukan untuk menarik perhatian, tetapi ianya adalah merupakan salah satu cara untuk menyenangkan naluri manusia, A. Halim Ali. Oleh itu, marilah kita membuka langkah untuk menyenangkan naluri masing-masing. 


     Sebagai pembuka tirai, moleklah kiranya saya memperkenalkan diri. Raja Noor Diyana binti Raja Kamal, nama diberi. Lebih dikenali sebagai Raja Dyana yang berusia 23 tahun selari dengan tahun 2011 ini. Sememangnya membesar dan menetap di bumi Tanjong Malim ini seawal usia 5 tahun lagi. Sesungguhnya, ruang U.P.S.I. itu adalah kawasan permainan saya sejak kecil lagi. Tinggal bersama keluarga di sebuah rumah kembar dua yang terletaknya di Taman Bernam Baru. Mungkin ruang penulisan ini sering dijengah, maka pembaca akan dapat mengenali saya dengan lebih lanjut lagi. Sampai di sini sahaja buat kali yang pertama ini. =D