Thursday, January 20, 2011

bahasa Melayu VS bahasa Inggeris

     Perbualan bukan selalunya akan berakhir sebagai cakap-cakap kosong sahaja. Sebaliknya, ada yang bermanfaat dan dapat menyebabkan perkongsian maklumat berlaku. Sembang-sembang dengan rakan sekuliah iaitu Nur Azwani (Wani) telah menyuntik sesuatu perasaan yang kurang enak.

     Hal ini berlaku sebaik sahaja Wani bercerita mengenai situasi yang dia hadapi semasa di dalam lif di Kolej Harun Aminurrashid. Dipendekkan cerita, terdapat beberapa pelajar Tesl. berbangsa Melayu (Maaf jika tidak menyorokkan maklumat ini) yang berkomunikasi sesama mereka menggunakan bahasa Inggeris. Tidak salah, kerana bahasa Inggeris harus dipelajari. Namun, perkara yang kurang enaknya adalah apabila mereka tanpa segan silu merendah-rendahkan penggunaan bahasa Melayu. Mungkin saya tidak tahu dengan lengkap apakah butir bicara mereka, tetapi begitulah maklumat yang saya terima. Kesal rasanya.

     Professor Emeritus Abdullah Hassan pernah berkata, sombonglah kita ketika berbahasa. Namun, sebaliknya yang berlaku terhadap mereka ini. Mereka seolah-olah memijak bahasa sendiri. Sungguh menyedihkan apabila telah nampak bahasa Melayu mula ditinggalkan oleh bangsanya sendiri. Tidak ada rasa sayang terhadap bahasa sendiri seolah-olah menampakkan tiada semangat patriotisme dalam diri mereka. Bahasa penentu ketamadunan sesebuah negara. Tiada bahasa, tiada tamadun, musnahlah negara. Mereka harus sedar itu.

     Tesl. bukanlah tiket untuk seseorang itu meninggalkan bahasa ibundanya. Perkara ini hanyalah sesuatu bidang ilmu yang perlu dipelajari, dipraktikkan, tetapi bukan untuk diagungkan. Oleh itu, semangat jati diri perlu ada pada diri setiap rakyat Malaysia tidak kiralah apa bangsanya kerana bahasa Kebangsaan kita ialah bahasa Melayu. Saya akhiri dengan kata-kata, bahasa asing dipelajari, bahasa ibunda dimuliakan. 


No comments:

Post a Comment