Sunday, January 16, 2011

Caknanya Dyana

     Mungkin tidak ramai yang mengetahui apakah maksud perkataan cakna itu. Saya sendiri sebelum ini tidak pernah terdengar atau terjumpa perkataan ini. Namun, sekali lagi, Dr. A. Halim Ali telah menjadi sumber ilham kepada saya untuk menghasilkan tajuk blog ini. Kata beliau, cakna adalah sama erti dengan prihatin. Oleh itu, Caknanya Dyana boleh dikatakan sebagai prihatinnya Dyana atau juga keprihatinan Dyana. Bukan mahu menjadi seorang yang terlalu ambil berat akan hal-hal yang terdapat di dalam dunia,tetapi keprihatinan saya di dalam blog ini terasnya adalah terhadap penggunaan bahasa Melayu di sekitar saya. Itulah sebenarnya tujuan lapangan penulisan ini diwujudkan.

     Dyana mahu tunjuk kecaknaannya. Anugerah Juara Lagu yang ke-25 telah melabuhkan tirainya kira-kira seminggu yang lepas. Namun, bahang kehangatannya masih terasa kini dek kerana ramai yang mempersoalkan kejuaraan lagu Tolong Ingatkan Aku dari penyanyi yang sedang meningkat namanya, Ana Rafali. Bukan itu sebenarnya yang menjadi isu saya  pada kali ini. Ada yang lain. Mungkin saya tidak terlalu ambil kisah tentang AJL 25 ini, tetapi semasa pengumuman pemenang, saya sempat duduk di depan kaca televisyen untuk mengetahui siapakah bakal juara kali ini. Sebelum itu, para pengacara sempat menyebut hadiah-hadiah yang bakal dimenangi oleh para pemenang. 

    Sayang seribu kali sayang, terdapat pada suatu ketika, skrin kaca memaparkan 'Piala berserta wang tunai'.Terdapat kesalahan tatabahasa di situ iaitu perkataan 'berserta'. Bagi perkataan dengan kata dasarnya yang mempunyai 'r' pada suku kata awalnya tidak boleh menerima imbuhan awalan 'ber'. Sepatutnya perkataan tersebut adalah 'beserta'. Hal ini sama juga dengan perkataan seperti 'bekerja'.

     Perkara ini agak memalukan apabila ayah saya sendiri turut menegur kesalahan tersebut. Saya berpendapat bahawa pihak televisyen sepatutnya mempunyai badan yang memantau penggunaan bahasa mereka. Hal ini demikian kerana televisyen adalah wadah utama untuk menyampaikan maklumat kepada para penerima. Oleh itu, kesalahan yang dilakukan mungkin akan menjadi ikutkan bagi mereka yang tidak mengetahui hal ini. Semoga perkara ini tidak akan berulang lagi.

Mari kita dengar dan nilai kejuaraan lagu ini. Hanya sebagai sisipan.

No comments:

Post a Comment