Thursday, March 17, 2011

Mudah Terasa

            Saya pernah menyatakan di laman sesawang Facebook bahawa, orang-orang bahasa adalah mudah terasa atau boleh dikatakan sebagai sangat sensitif. Tidak malu untuk mengakui bahawa diri ini orang bahasa, sebaliknya bangga. Hal yang dikatakan sensitif itu, sehingga pada tahap penggunaan bahasa seseorang, atau cara seseorang bertutur juga boleh menyebabkan seseorang yang berada dalam bidang bahasa ini, terasa. 

            Mengapa boleh terjadi hal seperti ini? Saya sendiri tidak dapat memberikan jawapan yang tepat kerana tiada kajian yang dilakukan terhadap kes ini, atau sememangnya tiada siapa yang menyedari hal ini. Mengapa saya katakan sensitif? Orang bahasa ini, secara automatiknya merupakan seorang yang beradab, bersopan santun, dan berbudi pekerti. 

           Bukan hendak meninggi diri, bukan hendak mengatakan orang lain tidak memiliki ciri-ciri tersebut, tetapi mungkin jumlahnya bagi orang-oarang bahasa, tinggi sedikit. Oleh hal yang demikian, secara tidak langsungnya juga, orang-orang bahasa akan cuba untuk menjaga adab, sopan-santun, dan berbudi semasa berkomunikasi. Tidak percaya? Anda boleh uji dan lihat sendiri. Hal ini juga menyebabkan, orang-orang bahasa mudah mengesan, dan turut terasa atau berkecil hati dengan mereka yang bertutur atau berkomunikasi dengan meninggalkan ciri-ciri yang dipegang oleh orang-orang bahasa. Bukan hendak suka-suka mereka cerita sendiri, tetapi saya sudah memerhatikan hal ini semenjak saya mula dikelilingi oleh orang-orang bahasa. 

Mari saya kongsi pengalaman saya sendiri,

            salam..makcik.=p
            nk tnye,ble ek if pendidikan pengurusan perniagaan nye intake kt upsi? 

           nk tnya pendapat ttg maslah pelajar berisiko.
           apa yg keluarga,ibu bapa,masyarakat dan guru2 perlu lakukan? 

Dua mesej di atas diberikan kepada saya melalui Facebook. Biar saya jelaskan, ayat yang pertama, salahnya apabila kata sapaan makcik digunakan oleh si pemberi untuk memanggil saya. Mungkin tidaklah jahat untuk memanggil seseorang itu makcik, tetapi bagi saya, kata panggilan itu hanyalah menunjukkan bahawa penutur itu tidak menghormati saya, sebaliknya mempersendakan saya yang sememangnua bukanlah tua sehingga layak dipanggil makcik. Bagi ayat kedua pula, salahnya apabila si pemberi soalan, secara tiba-tiba dan terus mengajukan soalan, tanpa memberi salam atau sebarang kata sapaan yang lain. Hal ini juga tidak menunjukkan rasa hormat kepada diri saya.

           Saya sedar, saya bukanlah orang besar yang memiliki nama dan dikenali. Namun, pada pendapat saya, setiap manusia di dunia ini ingin dihormati kerana manusia adalah makhluk Tuhan yang paling baik kejadiannya. Setiap mereka yang punya hati, mesti mahu dihormati dan tidak mahu maruahnya diperlekehkan. Sememangnya tiada langsung syarat atau prosedur bagi sesiapa sahaja ikuti hanya untuk menghantar mesej, tambah-tambah lagi manusia biasa. Namun, semacam sudah menjadi norma kehidupan apabila kita hendak memulakan sesebuah komunikasi dua hala, kita mulakan dengan memberi kata sapaan dan molek juga ditanyakan khabar dahulu. Hal inilah yang didukung oleh orang-orang bahasa. Oleh itu, jika norma ini dilangkau atau dilanggar terus, maka berasahatilah mereka yang berada dalam bidang bahasa ini.

           Bukan salah mereka si pemberi mesej, mungkin mereka tidak tahu bahawa orang-orang bahasa ini sensitif. Namun tidak salah untuk sesiapa sahaja tunjukkan bahawa dia menghormati orang lain, melalui bahasanya. Sebagai tambahan, saya juga berpendapat bahawa, sikap dan nilai seseorang itu dapat dilihat atau diketahui melalui bahasa yang diguna pakai mereka. Maaf jika ada yang terasa hati, saya cuma hendak berkongsi idea sahaja. 

Kite Bakor! Bakor!

Bermula dengan Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Kala Malam Bulan Mengambang, dan terbaru, Hantu Kak Limah Balik Rumah,  merupakan filem-filem arahan pengarah yang sangat berbakat iaitu Mamat  Khalid. Beliau seolah-olah telah membawa suatu bukan pembaharuan, tetapi boleh dikatakan sebagai satu trend untuk dirinya sendiri dalam bidang perfileman negara. Trend yang saya maksudkan adalah, penggunaan seluruhnya loghat Perak dalam ketiga-tiga filemnya iaitu Man Laksa, Zombi Kampung  Pisang, dan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Paling menyeluruh penggunaan loghat Perak adalah di dalam filem  Zombi Kampung  Pisang, dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.



[Gambar:Google]

 

                Sememangnya Mamat Khalid telah dilahirkan dan dibesarkan di Ipoh, Perak. Oleh itu, beliau telah mengambil usaha untuk mengetengahkan loghat Perak di dalam filem-filemnya. Usaha ini sungguh membanggakan terutamanya saya yang juga merupakan anak jati negeri Perak. Filem-filem Mamat Khalid mempunyai nilai yang tersendiri sehingga mampu untuk menarik ramai penonton dari seluruh negara untuk menonton filem-filemnya. Syabas dan tahniah buat Mamat Khalid.
                Berikutan penggunaan loghat Perak dalam dialog filem-filemnya, hal ini telah menyebabkan perluasan atau penyebaran maklumat mengenai loghat Perak ke seluruh negeri di negara ini. Hal ini juga membanggakan apabila mereka yang bukannya dari negeri Perak, kini telah memahami sedikit sebanyak kosa kata dalam loghat Perak. Contohnya seperti; bakor, ate, dan ce.  Perkara ini sehinggakan kawan-kawan saya dari negeri Sabah juga boleh menyebut perkataan-perkataan dalam loghat Perak. Hal inilah yang menampakkan Mamat Khalid seorang pengarah yang hebat di mata saya, dan juga mungkin di mata masyarakat juga. Saya harap agar usaha untuk mengetengahkan loghat Perak ini akan terus dilakukan beliau dan terus diterima masyarakat.

Taukeh dengan Pekerjanya

Pada ketika ini, keadaan di rumah saya boleh dikatakan agak tidak teratur. Hal ini demikian kerana, proses pengubahsuaian rumah sedang berlangsung. Agak bising juga keadaannya kerana ada sahaja lori, traktor, atau lori pembancuh simen yang datang ke rumah. Tidak kisahlah hal ini, kerana segala kebisingan yang berlaku, hasilnya juga untuk kebaikan kami sekeluarga.
                Ibu bapa saya telah memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada Encik Ah Weng dan isterinya untuk melakukan pengubahsuaian rumah kami ini. Mengikut pengetahuan saya, mereka berdua ini terdiri daripada arkitek dan jurutera. Hebat bukan? Hebat juga saya rasakan apabila Encik Ah Weng hanya menggunakan beberapa tenaga pekerja sahaja yang tidak sampai sepuluh orang untuk melakukan segala pekerjaan. Tidak mengapalah, beliau lebih arif.
                Terdapat perkara yang menarik apabila memerhatikan Encik Ah Weng dan para pekerjanya bekerja. Hal ini adalah, cara mereka berkomunikasi. Encik Ah Weng merupakan seorang yang berbangsa Cina. Manakala pekerja-pekerjanya merupakan pekerja asing yang datang dari negara Bangladesh. Oleh itu, komunikasi mereka berlangsung dalam bahasa Melayu.
'Ada ka taukeh sekarang? Ha taukeh ada, tanyalah sama taukeh.'

                Itulah salah satu dialog Encik Ah Weng dengan pekerjanya. Nampak seperti kasar, tetapi mungkin Encik Ah Weng lebih tahu bagaimana caranya untuk mengawal pekerjaan para pekerjanya. Teringat saya tentang susuatu perkara, iaitu perkara yang dibincangkan dalam kelas; pekerja asing dalam bidang profesional yang datang bekerja di Malaysia tidak perlu menguasai bahasa Melayu, sebaliknya boleh kekal bertutur dalam bahasa Inggeris. Namun, hal ini berbeza dengan pekerja dalam bidang bukan profesional seperti bekerja sebagai buruh binaan. Dapat dilihat, walau mereka datang dari negara Indonesia, Bangladesh, Kemboja, India, dan lain-lain negara, tetapi mereka harus dan boleh menguasai bahasa Melayu untuk mendapatkan pekerjaan. Oleh itu, mengapa tidak bagi pekerjaan dan bidang profesional?
 Kelihatan Encik Ah Weng di sebelah kanan, dan salah seorang pekerjanya di sebelah kiri.

Wednesday, March 16, 2011

Tidak Menjawab Soalan?

Kita sering berhadapan dengan situasi seperti di bawah:

Saleha : Mansur sudah makan?
Mansur : Ibu belum pulang.

Memang sering hal ini berlaku kepada masyarakat Melayu. Bukan saya ingin menuding jari menunjukkan siapakah kelompok-kelompok yang mengamalkan situasi di atas. Sebaliknya, tidak perlu melihat jauh, saya sendiri juga tidak dikatakan sering, tetapi ada kalanya saya menjawab sebegini. Namun, adakah jawapan yang diberikan itu dapat menjawab soalan?

      Tidak tahu mengapa, hal ini menjadi salah satu cara bagi sesetengah orang untuk menjawab soalan. Lain yang ditanya, lain yang dijawab. Namun, saya mempunyai satu jawapan kepada persoalan ini. Sebenarnya, si penjawab soalan ada menjawab soalan yang dikemukakan. Bagaimana? Mari kita kaji jawapan Mansur.
Sebenarnya, Mansur telah menjawab soalan iaitu, dia belum makan. Apakah sebabnya? Kerana ibunya belum pulang untuk masak atau pulang membawa makanan. Oleh itu, tiada makanan untuk Mansur makan. Mansur sebenarnya telah memberi dua jawapan atau dua idea di dalam jawapannya itu. Satu idea utama, dan satu lagi idea sokongan.

      Sebenarnya, jawapan Mansur itu tadi dikatakan sebagai jawapan tersirat. Hal ini menunjukkan bahawa Mansur tidak menjawab soalan itu secara terus, tetapi dia menjawab melalui jawapan yang lain. Perkara ini sebenarnya boleh mengelirukan si peminta jawapan, kerana jawapan yang diberikan secara kasarnya dilihat tidak menjawab soalan. Namun, oleh kerana hal ini sering berlaku dalam kalangan masyarakat kita, maka jawapan mudah sebegini dapat diterima dan ditafsir dengan mudah oleh sesiapa sahaja. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak digalakkan untuk dilakukan kepada bangsa asing kerana mereka pasti akan keliru dengan jawapan yang diberikan.

Mempelajari bahasa Mandarin

      Sememangnya sudah tertanam cita-cita untuk mempelajari bahasa Mandarin sejak dahulu lagi. Hal ini kerana, saya pernah menemui beberapa orang yang saya anggap istimewa dan beruntung kerana mampu bertutur dalam bahasa Mandarin, sedangkan mereka bukanlah berbangsa Cina. Mandarin ialah salah satu pecahan bagi bahasa Cina yang terdapat di negara ini. Bahasa Mandarin juga dikenali sebagai bahasa Cina lama kerana Mandarin adalah merupakan bahasa asas kepada pecahan bahasa-bahasa Cina yang lain.

      Berbalik kepada keinginan saya tadi, hasrat itu telah saya capai semenjak tahun lepas. Bermula dari ajakan kawan saya untuk mengikuti kelas tambahan bahasa Mandarin secara persendirian, telah saya terima dengan berbesar hati. Kami berdua telah mempelajari bahasa ini yang diajar oleh salah seorang guru di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Chun Sing, Tanjong Malim. Guru ini sebetulnya ialah guru kepada adik kawan saya itu sendiri.  Tidak ada sukatan pelajaran yang digunakan untuk mengajar kami, tetapi pada dasarnya guru tersebut mengajar kami cara untuk bertutur dalam bahasa Mandarin ini. Namun, sesi pembelajaran hanya berlangsung kira-kira sebulan sahaja.

Morfem dalam tatabahasa bahasa Mandarin [Gambar:Google]


       Pada semester ini, sekali lagi saya berpeluang untuk mempelajari bahasa Mandarin di bawah kursus Pengayaan Diri. Sangat teruja untuk meneruskan sesi mempelajari bahasa ini. Tidak banyak yang berbeza, cuma kali ini pensyarah yang mengajar mempunyai sukatan pelajaran dan merujuk kepada sebuah buku khas. Pensyarah yang dipanggil sebagai Loishi Tan Li Na adalah seorang pengajar yang sangat ceria dan baik hati. Sesi pembelajaran tidak pernah bosan kerana beliau tahu bagaimana untuk menarik perhatian para pelajarnya. Bertambahlah lagi semangat saya dalam mempelajari bahasa ini. Alhamdulillah, sedikit sebanyak saya dapat mengikuti kelas ini tanpa masalah.

       Pada pendapat saya, selain minat, saya melihat penting juga untuk kita mempelajari bahasa Mandarin. Hal ini kerana, penduduk di negara ini juga terdiri daripada bangsa Cina yang kebanyakannya bertutur dalam bahasa Mandarin. Oleh itu, dengan mempelajari bahasa Mandarin, kita dapat menunjukkan rasa hormat kita kepada bangsa lain, selain kita dapat memahami tutur kata mereka. Saya sama sekali tidak bersetuju apabila dikatakan dengan mempelajari bahasa lain, maka kita meminggirkan bahasa Melayu. Tidak! Maksud saya mempelajari adalah sekadar faham, dan dapat bertutur atau menulis dan membaca dalam bahasa Mandarin, tetapi bukan menguasai dan mengagungkan bahasa tersebut. Kita hanyalah meningkatkan kemahiran berbahasa kita, bukan merosakkan bahasa sendiri. Oleh itu, tidak salah untuk kita mempelajari mana-mana juga bahasa asing selain bahasa ibunda kita sendiri.

Penterjemahan Bahasa

     Penterjemahan bermaksud pertukaran yang berlaku kepada sesuatu bahasa asal, kepada suatu bahasa ibunda. Maksudnya, penterjemahan itu dilakukan oleh penterjemah dari suatu bahasa asing, kepada bahasa yang digunakan oleh penterjemah itu sendiri. Itu kebiasaannya. Namun, terdapat juga penterjemah yang menterjemah sesuatu bahasa kepada bahasa lain yang merupakan bukan bahasa ibundanya. Semua ini bergantung kepada kehendak, dan keupayaan seseorang penterjemah itu.

       Penterjemahan biasanya dilakukan terhadap hasil penulisan seseorang, iaitu banyaknya kepada penulisan buku. Kebiasaannya juga, buku yang diterjemah merupakan buku-buku ilmiah yang digunakan untuk tujuan pendidikan. Penterjemahan ini penting bagi kita semua untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang biasanya ditemui oleh mereka dari negara luar. Kadang-kala, kelainan bahasa membataskan komunikasi. Oleh itu, hadirlah si penterjemah untuk merungkai masalah ini.

      Walau bagaimanapun, bukanlah isu penterjemahan buku yang ingin saya isukan, namun sebaliknya. Hal yang saya maksudkan adalah penterjemahan bahasa di dalam cerita yang di tayangkan di kaca televisyen. Ya! Cerita-cerita dari luar negara juga kadang-kala diterjemah kepada bahasa Melayu. Apa yang terjadi ialah, suara asal para pelakon dialihkan, dan digantikan dengan suara lain yang bertutur dalam bahasa Melayu. Memang lucu juga kelihatannya kerana mulut yang bergerak lain, tetapi apa yang diujarkannya lain.

        Walaupun kelihatan seperti merosakkan keaslian sesebuah cerita, tetapi boleh dikeluarkan dua kelebihan  akibat daripada pengalihan suara ini. Pertama, perkara ini dapat menarik lebih banyak penonton kerana apabila telah dialih suara, maka jalan cerita tersebut lebih mudah difahami. Maka bertambahlah minat dan jumlah para penonton. Kedua, pengalihan bahasa asing kepada bahasa Melayu telah menunjukkan salah satu usaha untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat kita sendiri. Hal ini juga menunjukkan bahawa orang-orang media faham dan nampak bertapa pentingnya penggunaan bahasa Melayu dalam sesuatu bahan yang hendak ditayangkan. Selain memartabatkan bahasa Melayu, mereka juga dapat meningkatkan pendapatan sendiri. Lihatlah, masing-masing ada kepentingan dan kelebihan tersendiri. 

Tuesday, March 15, 2011

'Ia' untuk Benda Bernyawa

      

      Pada 5 Mac 2011 yang lepas, sempat diadakan majlis ilmu, Kelangsungan Tatatbahasa Dewan Dahulu dan Kini. Majlis ini mengundang tetamu khas iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safuah Karim dan juga En. Rusli bin Abd. Ghani dari Dewan Bahasa dan Pustakan. Secara peribadinya, pertemuan ini merupakan pertemuan yang kedua kalinya antara saya dengan Prof. Nik. Sebelum ini, saya dan teman, Anah, pernah berjumpa beliau di sebuah kedai nasi briani di Tanjong Malim ini. Semasa majlis ilmu ini berlangsung, saya berpeluang mengiringi Prof. Nik dan tetamu jemputan yang lain memandangkan saya diberi tugas di bawah ahli jawatankuasa protokol majlis.

      Banyak isu yang telah dibentangkan. Pembentangan turut dilakukan oleh pensyarah Sintaksis saya sendiri iaitu Puan Norliza Jamaludin. Namun, suatu hal yang menarik perhatian saya semasa Prof. Nik membuat pembentangan ialah, penggunaan 'ia' hanyalah untuk benda yang bernyawa. Hal ini menafikan sangkaan yang biasa kita buat, iaitu 'ia' digunakan untuk menggantikan benda yang bukan hidup. Kata Prof. Nik, hal ini salah sama sekali. Hal ini kerana, sememangnya struktur ayat bahasa Melayu itu, begitu. 

      Mari kita lihat perbezaan antara struktur ayat bahasa Inggeris, (yang mana menjadi rujukan utama si pembantah), dan juga struktur bahasa Melayu yang sebenarnya.


I have a pen. It is blue. (struktur ayat bahasa Inggeris)

      Ayat seperti inilah  yang menyebabkan terdapat sesetengah pihak yang memikirkan perlu adanya 'ia' yang digunakan sebagai kata nama ganti untuk benda tidak hidup.Namun, mereka harus ingat bahawa struktur ayat bahasa Inggeris dan struktur ayat bahasa Melayu adalah berbeza. Hal ini dapat diterangkan dengan contoh berikut.

Saya ada pen yang berwarna biru. (struktur ayat bahasa Melayu)

Ayat seperti inilah yang perlu digunakan. Dapat dilihat bahawa bahasa Melayu tidak memerlukan 'ia' sebagai kata ganti nama diri untuk benda tidak hidup.

      Walau bagaimanapun, terdapat mereka yang datangnya daripada bidang sains, tidak dapat menerima ketentuan ini. Lalu mereka mendesak pihak Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mewujudkan juga 'ia'. Oleh hal yang demikian, terpaksalah pihak DBP memasukkan 'ia' ke dalam Kamus Dewan edisi terbaru. Bagi kita sebagai pencinta bahasa, bolehlah membuat keputusan sendiri.