Saya pernah menyatakan di laman sesawang Facebook bahawa, orang-orang bahasa adalah mudah terasa atau boleh dikatakan sebagai sangat sensitif. Tidak malu untuk mengakui bahawa diri ini orang bahasa, sebaliknya bangga. Hal yang dikatakan sensitif itu, sehingga pada tahap penggunaan bahasa seseorang, atau cara seseorang bertutur juga boleh menyebabkan seseorang yang berada dalam bidang bahasa ini, terasa.
Mengapa boleh terjadi hal seperti ini? Saya sendiri tidak dapat memberikan jawapan yang tepat kerana tiada kajian yang dilakukan terhadap kes ini, atau sememangnya tiada siapa yang menyedari hal ini. Mengapa saya katakan sensitif? Orang bahasa ini, secara automatiknya merupakan seorang yang beradab, bersopan santun, dan berbudi pekerti.
Bukan hendak meninggi diri, bukan hendak mengatakan orang lain tidak memiliki ciri-ciri tersebut, tetapi mungkin jumlahnya bagi orang-oarang bahasa, tinggi sedikit. Oleh hal yang demikian, secara tidak langsungnya juga, orang-orang bahasa akan cuba untuk menjaga adab, sopan-santun, dan berbudi semasa berkomunikasi. Tidak percaya? Anda boleh uji dan lihat sendiri. Hal ini juga menyebabkan, orang-orang bahasa mudah mengesan, dan turut terasa atau berkecil hati dengan mereka yang bertutur atau berkomunikasi dengan meninggalkan ciri-ciri yang dipegang oleh orang-orang bahasa. Bukan hendak suka-suka mereka cerita sendiri, tetapi saya sudah memerhatikan hal ini semenjak saya mula dikelilingi oleh orang-orang bahasa.
Mari saya kongsi pengalaman saya sendiri,
salam..makcik.=p
nk tnye,ble ek if pendidikan pengurusan perniagaan nye intake kt upsi?
nk tnye,ble ek if pendidikan pengurusan perniagaan nye intake kt upsi?
nk tnya pendapat ttg maslah pelajar berisiko.
apa yg keluarga,ibu bapa,masyarakat dan guru2 perlu lakukan?
apa yg keluarga,ibu bapa,masyarakat dan guru2 perlu lakukan?
Dua mesej di atas diberikan kepada saya melalui Facebook. Biar saya jelaskan, ayat yang pertama, salahnya apabila kata sapaan makcik digunakan oleh si pemberi untuk memanggil saya. Mungkin tidaklah jahat untuk memanggil seseorang itu makcik, tetapi bagi saya, kata panggilan itu hanyalah menunjukkan bahawa penutur itu tidak menghormati saya, sebaliknya mempersendakan saya yang sememangnua bukanlah tua sehingga layak dipanggil makcik. Bagi ayat kedua pula, salahnya apabila si pemberi soalan, secara tiba-tiba dan terus mengajukan soalan, tanpa memberi salam atau sebarang kata sapaan yang lain. Hal ini juga tidak menunjukkan rasa hormat kepada diri saya.
Saya sedar, saya bukanlah orang besar yang memiliki nama dan dikenali. Namun, pada pendapat saya, setiap manusia di dunia ini ingin dihormati kerana manusia adalah makhluk Tuhan yang paling baik kejadiannya. Setiap mereka yang punya hati, mesti mahu dihormati dan tidak mahu maruahnya diperlekehkan. Sememangnya tiada langsung syarat atau prosedur bagi sesiapa sahaja ikuti hanya untuk menghantar mesej, tambah-tambah lagi manusia biasa. Namun, semacam sudah menjadi norma kehidupan apabila kita hendak memulakan sesebuah komunikasi dua hala, kita mulakan dengan memberi kata sapaan dan molek juga ditanyakan khabar dahulu. Hal inilah yang didukung oleh orang-orang bahasa. Oleh itu, jika norma ini dilangkau atau dilanggar terus, maka berasahatilah mereka yang berada dalam bidang bahasa ini.
Bukan salah mereka si pemberi mesej, mungkin mereka tidak tahu bahawa orang-orang bahasa ini sensitif. Namun tidak salah untuk sesiapa sahaja tunjukkan bahawa dia menghormati orang lain, melalui bahasanya. Sebagai tambahan, saya juga berpendapat bahawa, sikap dan nilai seseorang itu dapat dilihat atau diketahui melalui bahasa yang diguna pakai mereka. Maaf jika ada yang terasa hati, saya cuma hendak berkongsi idea sahaja.
No comments:
Post a Comment