Wednesday, March 16, 2011

Tidak Menjawab Soalan?

Kita sering berhadapan dengan situasi seperti di bawah:

Saleha : Mansur sudah makan?
Mansur : Ibu belum pulang.

Memang sering hal ini berlaku kepada masyarakat Melayu. Bukan saya ingin menuding jari menunjukkan siapakah kelompok-kelompok yang mengamalkan situasi di atas. Sebaliknya, tidak perlu melihat jauh, saya sendiri juga tidak dikatakan sering, tetapi ada kalanya saya menjawab sebegini. Namun, adakah jawapan yang diberikan itu dapat menjawab soalan?

      Tidak tahu mengapa, hal ini menjadi salah satu cara bagi sesetengah orang untuk menjawab soalan. Lain yang ditanya, lain yang dijawab. Namun, saya mempunyai satu jawapan kepada persoalan ini. Sebenarnya, si penjawab soalan ada menjawab soalan yang dikemukakan. Bagaimana? Mari kita kaji jawapan Mansur.
Sebenarnya, Mansur telah menjawab soalan iaitu, dia belum makan. Apakah sebabnya? Kerana ibunya belum pulang untuk masak atau pulang membawa makanan. Oleh itu, tiada makanan untuk Mansur makan. Mansur sebenarnya telah memberi dua jawapan atau dua idea di dalam jawapannya itu. Satu idea utama, dan satu lagi idea sokongan.

      Sebenarnya, jawapan Mansur itu tadi dikatakan sebagai jawapan tersirat. Hal ini menunjukkan bahawa Mansur tidak menjawab soalan itu secara terus, tetapi dia menjawab melalui jawapan yang lain. Perkara ini sebenarnya boleh mengelirukan si peminta jawapan, kerana jawapan yang diberikan secara kasarnya dilihat tidak menjawab soalan. Namun, oleh kerana hal ini sering berlaku dalam kalangan masyarakat kita, maka jawapan mudah sebegini dapat diterima dan ditafsir dengan mudah oleh sesiapa sahaja. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak digalakkan untuk dilakukan kepada bangsa asing kerana mereka pasti akan keliru dengan jawapan yang diberikan.

No comments:

Post a Comment