Sunday, March 6, 2011

Penggunaan Bahasa Perisian Komputer

      Manusia tanpa gajet di alam dewasa kini memang tidak logik. Tidak ada sesiapa di muka bumi ini akan menolak penggunaan teknologi jika mereka mahukan kejayaan di dalam hidup. Hal ini disebabkan oleh manusia kini banyak atau boleh dikatakan sebagai terlalu bergantung kepada teknologi untuk memudahkan segala aktiviti seharian. Hal ini melibatkan alat-alat teknologi seperti telefon bimbit, mesin mengeluarkan duit di bank, alat peminjaman buku automatik, robot memasang enjin kereta, mesin membasuh pakaian dan mesin memerah tebu, sebagai contohnya.

Komputer suatu ketika dulu [Gambar:Google]
Komputer kini. [Gambar:Google]


      Perkara ini tidak mengecualikan teknologi komputer. Komputer adalah alat mudah yang digunakan untuk menyimpan maklumat dan data-data, serta wadah penggunaan internet yang boleh menghubungkan manusia ke serata tempat di dunia ini. Tidak dinafikan bahawa teknologi ini kebanyakkannya bermula di Barat. Oleh itu, tidak mustahillah jika segala perisian di dalam komputer adalah menggunakan bahasa Inggeris. Hal ini telah menyebabkan sehingga manusia sudah sangat terbiasa dengan segala istilah komputer di dalam bahasa Inggeris.

      Namun, baru-baru ini, telah ada kegiatan yang cuba menukarkan penggunaan bahasa Inggeris di dalam komputer kepada bahasa Melayu. Hal ini termasuklah istilah-istilah, bahasa dalam perisian, dan juga tetapan di internet, misalannya. Walaupun kekok di peringkat awal, namun bagi mereka yang mempunyai semangat cintakan bahasa ibunda tetap akan menggunakan bahasa Melayu terutamanya bagi mereka yang agak berusia. Walau bagaimanapun, anak-anak muda juga kini ada yang menggunakan tetapan bahasa Melayu kerana dikatakan lebih mudah untuk memahami istilah-istilah dalam perisian komputer.Contohnya seperti perkara yang saya temui semasa berada di kelas di Bandar Proton, iaitu:

Perisian antivirus dalam bahasa Melayu


      Usaha ini adalah sangat membanggakan dan haruslah disokong oleh rakyat Malaysia sehubungan bahasa Melayu merupakan bahasa Kebangsaan bagi negara Malaysia. Mungkin penerimaannya pada peringkat awal tidaklah menggalakkan, namun pasti lama-kelamaan perkara ini akan diterimapakai oleh rakyat Malaysia. Syaratnya, usaha sebegini tidak terputus, malah diperluas dan dimantapkan lagi penyediaannya. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment