Thursday, March 17, 2011

Taukeh dengan Pekerjanya

Pada ketika ini, keadaan di rumah saya boleh dikatakan agak tidak teratur. Hal ini demikian kerana, proses pengubahsuaian rumah sedang berlangsung. Agak bising juga keadaannya kerana ada sahaja lori, traktor, atau lori pembancuh simen yang datang ke rumah. Tidak kisahlah hal ini, kerana segala kebisingan yang berlaku, hasilnya juga untuk kebaikan kami sekeluarga.
                Ibu bapa saya telah memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada Encik Ah Weng dan isterinya untuk melakukan pengubahsuaian rumah kami ini. Mengikut pengetahuan saya, mereka berdua ini terdiri daripada arkitek dan jurutera. Hebat bukan? Hebat juga saya rasakan apabila Encik Ah Weng hanya menggunakan beberapa tenaga pekerja sahaja yang tidak sampai sepuluh orang untuk melakukan segala pekerjaan. Tidak mengapalah, beliau lebih arif.
                Terdapat perkara yang menarik apabila memerhatikan Encik Ah Weng dan para pekerjanya bekerja. Hal ini adalah, cara mereka berkomunikasi. Encik Ah Weng merupakan seorang yang berbangsa Cina. Manakala pekerja-pekerjanya merupakan pekerja asing yang datang dari negara Bangladesh. Oleh itu, komunikasi mereka berlangsung dalam bahasa Melayu.
'Ada ka taukeh sekarang? Ha taukeh ada, tanyalah sama taukeh.'

                Itulah salah satu dialog Encik Ah Weng dengan pekerjanya. Nampak seperti kasar, tetapi mungkin Encik Ah Weng lebih tahu bagaimana caranya untuk mengawal pekerjaan para pekerjanya. Teringat saya tentang susuatu perkara, iaitu perkara yang dibincangkan dalam kelas; pekerja asing dalam bidang profesional yang datang bekerja di Malaysia tidak perlu menguasai bahasa Melayu, sebaliknya boleh kekal bertutur dalam bahasa Inggeris. Namun, hal ini berbeza dengan pekerja dalam bidang bukan profesional seperti bekerja sebagai buruh binaan. Dapat dilihat, walau mereka datang dari negara Indonesia, Bangladesh, Kemboja, India, dan lain-lain negara, tetapi mereka harus dan boleh menguasai bahasa Melayu untuk mendapatkan pekerjaan. Oleh itu, mengapa tidak bagi pekerjaan dan bidang profesional?
 Kelihatan Encik Ah Weng di sebelah kanan, dan salah seorang pekerjanya di sebelah kiri.

No comments:

Post a Comment