Friday, February 25, 2011

Bahasa yang Menyatukan Kanak-kanak

      Pada usia kecil, manusia akan mengalami pelbagai peristiwa yang tersendiri. Hal ini berikutan pada masa inilah kanak-kanak sedang meneroka dan mempelajari perkara yang berlaku di sekelilingnya. Proses pembelajaran ini tidak dapat dihalang kerana perlakuan itu hanyalah akan membantutkan perkembangan minda seseorang kanak-kanak itu. Lari sedikit dari cerita sendiri, pada kali ini saya ingin menceritakan pengalaman yang berlaku kepada sepupu saya semasa kecilnya.

      Ingatan yang panjang akan membawa kita untuk mengingati semula cerita-cerita yang pernah diceriterakan kepada kita. Teringat cerita Opah Cik yang pernah tinggal di Scotland kerana mengikuti makcik dan pakcik saya yang menetap di sana semasa masing-masing menghabiskan masa untuk menyambung pengajian. Oleh kerana sudah berkeluarga, maka makcik dan pakcik turut membawa tiga orang anaknya untuk tinggal bersama-sama di Scotland, termasuk Opah Cik.

      Menurut Opah Cik, di Scotland, ada slanga mereka yang tersendiri sehingga membuatkan kita yang mempelajari bahasa Inggeris standard tidak dapat memahaminya. Mungkin sama keadaannya apabila orang Indonesia yang faham bahasa Melayu, tetapi akan terdiam apabila mendengar pertuturan orang Kelantan, hanya sebagai contoh. 

      Mungkin tidak menjadi masalah kepada orang dewasa yang boleh mengawal slanga masing-masing, namun hal ini sukar berlaku kepada kanak-kanak. Berdasarkan cerita Opah Cik, kanak-kanak di sana sudah terbiasa dengan longat Scotland yang turut digunakan sesama rakan sebaya. Unik, apabila sepupu saya yang mana pada ketika itu berusia mungkin 5 atau 6 tahun dan bersekolah di salah satu tadika di sana, boleh bergaul mesra dengan kanak-kanak Scotland di situ. Kelihatannya seperti tiada masalah walaupun beliau sendiri tidak fasih dalam bahasa Melayu.

      Begitulah hebatnya minda kanak-kanak yang boleh menerima pembelajaran daripada persekitaran dengan cepat. Sepertinya terdapat satu bahasa lain yang hanya mereka sahaja faham, atau mungkin juga memang mudah untuk kanak-kanak mempelajari sesuatu bahasa jika diberi bimbingan dan galakan. Terdapat pendapat yang juga menyokong perkara ini, dengan mengatakan bahawa kanak-kanak lebih cepat belajar bahasa, berbanding orang dewasa.

Antara keindahan bumi Scotland [gambar:google]

Wednesday, February 23, 2011

Berdiplomasi

      Setiap hari, kita akan belajar dan terus belajar tentang perkara-perkara baru di sekeliling kita. Pembelajaran ini tidak semestinya dalam bentuk formal, tetapi juga dalam atau mengenai perkara-perkara yang biasa-biasa sahaja. Di dalam kelas, memang terdapat isi-isi penting yang diajar mengikut sukatan pelajaran, namun, adalah menjadi peranan pengajar juga untuk mengaitkan isi pembelajaran dengan kehidupan kita seharian. 

      Menyebut soal pembelajaran di dalam kelas, banyak input atau maklumat yang diperoleh termasuklah juga perkara yang berlaku semasa di dalam kelas Sosiolinguistik pada jam 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari tadi. Pengajarnya, Dr. Siti Saniah dalam banyak perkara yang disebut, terdapat seuatu perkara yang sangat menarik bagi saya. Hal ini ialah mengenai perlakuan 'diplomasi'. Seperti mana yang saya faham, diplomasi adalah merujuk kepada perbuatan mempengaruhi atau menukar persepsi seseorang itu terhadap sesuatu idea dengan menggunakan komunikasi yang betul.

      Mungkin hal ini sama seperti ritorik, namun bezanya ritorik kadang-kala mengandungi fakta yang tidak betul kerana sifatnya iaitu untuk mempengaruhi seseorang mengenai sesuatu yang bukan akademik. Berdasarkan cerita Dr. Siti Saniah, beliau telah berjaya mendapat kelulusan untuk membentangkan kertas kerjanya di salah sebuah universiti di Jerman. Tahniah diucapkan. Menurut beliau, dan apa yang boleh saya simpulkan ialah, diplomasi memerlukan kita untuk bersikap rasional, memiliki sifat sabar dan perkara paling penting ialah kita harus boleh menghujahkan idea kita dengan sebaik mungkin. Diplomasi yang baik pasti akan memberikan hasil yang baik. Oleh itu, diplomasi penting untuk kita pelajari terutamanya mereka yang berkaitan dalam bidang berprofesyen tinggi.

Angguk-angguk, Geleng-geleng.

     
Angguk-angguk, geleng-geleng oleh kucing 
      Sedar atau tidak, manusia kurang sedar akan sesuatu perkara apabila perkara tersebut tidak diberitahu. Mungkin sesuatu perkara itu sangat kecil dan mudah, namun apabila dibincangkan, ia boleh menjadi isu yang hangat. Bukan saya ingin bincangkan isu hangat kali ini, namun sebaliknya saya ingin mengetengahkan kebiasaan yang kita lakukan, tanpa kita sedar.

      Berlakunya sesuatu perkara tanpa kita sedar ialah bermaksud apabila pemikiran kita berada di aras bawah sedar; iaitu minda tidak dapat mengawal perlakuan tersebut. Salah satu perkara bawah sedar yang sering kita lakukan ialah perlakuan mengangguk. Mengangguk ialah perlakuan menjatuh dan mengangkat kepala tidak lebih dari paras bahu, dalam masa yang singkat. Anggukan ini kadang-kadang boleh juga berlaku apabila kita sedar, iaitu mengangguk dengan sengaja. Namun, kebanyakan waktu terjadinya anggukan ini apabila kitta tidak sedar.
      Apakah yang mendorong untuk manusia mengangguk? Sudah menjadi seperti norma kepada manusia untuk mengangguk khususnya apabila kita bersetuju mengenai sesuatu idea. Misalnya, apabila mendengar ceramah, adakalanya pasti kita akan mengangguk tanda setuju dengan idea yang diperkatakan oleh penceramah. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa anggukan juga merupakan bahasa badan yang berlaku tanpa dapat kita kawal. Jika dilihat, orang Melayulah yang paling banyak melakukan perbuatan ini. Oleh kerana memang adat Melayu penuh dengan sopan santunnya, perlakuan mengangguk juga berkaitan dengan adab sopan. Hal ini terjadi kerana mengangguk juga merupakan tanda kita hormat kepada idea yang dilontarkan oleh seseorang itu, selain menerima idea tersebut. Maka, sememangnya sesuai benar budaya mengangguk ini dilakukan oleh masyarakat Melayu.

Budaya Mengangguk

<iframe title="YouTube video player" width="480" height="390" src="http://www.youtube.com/embed/aS90oWI6FyU" frameborder="0" allowfullscreen></iframe>

Monday, February 21, 2011

Comellah Bahasa Awak!

      Dunia berputar 24 jam tanpa henti menyebabkan terdapat sesetengah pihak yang pening sehingga keliru dengan bahasa sendiri. Topik kali ini ialah bahasa pelat. Pelat ini bermaksud pertuturan atau bunyi bahasa yang dihasilkan oleh kanak-kanak yang mula belajar bercakap. Hal ini berlaku kerana mereka masih tidak boleh mendengar dan menyebut sesuatu perkataan itu dengan sempurna. Sebagai hasilnya, terjadilah perkataan-perkataan baru oleh si kecil yang merujuk kepada sesuatu perkataan yang benar-benar wujud dan bermakna. Sebagai contoh, 
cucu = susu
makan = mamam
nanak > tak nak = tidak hendak /tidak mahu

      Banyak lagi contoh lain jika hendak disenaraikan. Walau bagaimanapun, perkara ini dapat dimaafkan kerana kanak-kanak masih lagi berada dalam proses pembelajaran. Namun, yang dikatakan putaran dunia telah  menebalikkan minda manusia, telah menyebabkan terdapat sesetengah orang dewasa yang menggunakan bahasa pelat ini bukan kepada kanak-kanak, tetapi kepada orang dewasa yang lain. Ya! Orang dewasa!

      Terdapat kepelikan di situ apabila dua insan yang sudah pandai bertutur dengan cemerlang, tetapi menggunakan bahasa pelat sesama sendiri. Hal ini berlaku kepada sesetengah pasangan kekasih. Antara mereka, terdapat seperti satu bahasa pengerat yang layak dituturkan oleh mereka berdua sahaja. Bukanlah setiap perkataan yang diungkapkan itu pelat, tetapi masih juga berlaku kepada beberapa perkataan.Sebagai contoh,
yayang = sayang
namo = tidak mahu
tantek = cantik

      Apakah rasionalnya mereka menggunakan bahasa pelat ini? Mungkin ada yang menyatakan bahawa bahasa ini dapat menunjukkan nilai manja, kasih sayang, dan cinta yang mendalam antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, jika orang dewasa yang lain mendengarnya, pasti mereka akan merasa geli atau menyampah. Hal ini kerana pengguna salah itu sudah besar, tidak perlulah berbahasa kanak-kanak. 

      Perkata ini adalah memalukan. Mungkin tidak salah jiga komunikasi itu berlaku hanya pada mereka berdua tanpa ada orang lain disekeliling. Namun, janganlah sehingga terkeluar di khalayak ramai tidak kiralah secara lisan, mahupun secara penulisan di internet. Pada pendapat saya, bukan begitu caranya untuk menunjukkan kasih sayang. Sebaliknya, perkara ini hanyalah merosakkan bahasa sendiri. Hatta kanak-kanak kinipun tidak digalakkan bertutur pelat, inikan pula orang dewasa.

[gambar : google]

Sunday, February 20, 2011

Fonem 'S' Bertukar kepada Fonem 'Z'

     Iklan adalah sangat berguna kepada sesetengah pihak. Iklan yang baik pasti akan dapat menarik minat penonton dan seterusnya mempengaruhinya. Mengenai iklan sesuatu rancangan, iklan tersebut haruslah berjaya menarik penonton untuk menyaksikan rancangan yang bakal ditayangkan itu. Namun, jika tidak berhati-hati, iklan juga boleh menyebabkan penonton tidak berminat untuk terus menonton.

     Astro Ria sepertinya sudah menjadi program televisyen yang popular di rumah saya. Hal ini kerana program ini sering menjadi pilihan tidak kiralah sama ada pada siang hari ataupun pada waktu malam. Namun, saya menjumpai sesuatu isu yang ingin diketengahkan di sini. Jika melihat pada iklan rancangan televisyen di Astro Ria, saya dapati terdapat semacam satu trend baru sejak satu atau dua tahun kebelakangan ini. Trend yang dimaksudkan ialah, pembacaan iklan bahasa Melayu dengan slanga bahasa Inggeris. Iklan terbaru yang saya dapati ialah; 

Saksikan Astana malam ini ekskluzif di Astro Ria.

      Mungkin saya salah mendengar, tetapi saya yakin dan pasti penyampai iklan tersebut menyebut ekskluzif. Perkataan ekskluzif yang dikatakan adalah merujuk kepada perkataan eksklusif yang bermaksud istimewa atau khas. Namun, mungkin ingin menampakkan kemodenan atau sedikit prestij, maka fonem 's' di dalam perkataan tersebut disebut dengan bunyi fonem 'z'. Tidak dinafikan bahawa perkataan eksklusif adalah cedokan dari perkataan bahasa Inggeris iaitu exclusive. Namun, masih juga tiada bunyi fonem 'z' dia dalam perkataan tersebut.

       Pada hemat saya, perkara ini tidak perlu berlaku. Hal ini kerana bahasa Melayu itu sendiri sudah kukuh dan cukup sempurna. Tidak perlulah ditukar cara sebutannya hanya kerana untuk menampakkan sedikit maju yang sebenarnya menjadi perosak kepada kemuliaan bahasa kita. Sebelum ini juga terdapat masalah apabila frasa Tayangan Hebat disebut hebat itu dengan fonem 'e' taling disebut dengan bunyi fonem 'e' pepet. Walau bagaimanapun, syukur kerana perubahan sudah berlaku. Namun, apabila perkara yang sama berulang, siapakah yang harus dipersalahkan?

Dari UPM ke Elianto!

      Satu pengalaman yang sangat memberi pengajaran. Semalam, saya dengan yakinnya telah memandu dari Tanjong Malim terus ke Universiti Putra Malaysia di Serdang yang ditemani oleh kakak saya. Tujuan murni saya ke sana adalah untuk memberi sokongan moral kepada teman yang terlibat dalam pertandingan futsal di sana. Manakala kakak pula akan ke Shah Alam untuk menghadiri majlis perkahwinan sahabatnya.

      Namun, keyakinan untuk memandu ke sana telah robek akibat daripada kami tersalah jalan. Maka, terjadilah adegan sesat sehingga ke Putrajaya. Masih tidak mahu untuk menyalahkan diri apabila perkhidmatan Garmin disalahkan. Walau bagaimanapun, akibat semangat yang tinggi, kami teruskan juga perjalanan dan akhirnya sampai di Kolej 10, kolej penginapan bagi pelajar jurusan kejuruteraan UPM. Walau hanya sempat menyaksikan satu perlawanan, saya masih bersyukur. Sementara itu, kakak teruskan perjalanan ke Shah Alam dengan selamat. Pengajarannya, apabila kita tidak memandu, kita juga harus mempelajari jalan-jalan yang dilalui.

      Dipendekkan cerita, selepas tamat perlawanan, saya dan teman kembali ke Shah Alam. Kami sempat singgah di kompleks membeli-belah SACC di sana untuk mendapatkan sedikit perkakas diri. Terdapat suatu ketika, terdetiklah diri ini untuk masuk ke dalam butik kecantikan Elianto. Sememangnya niat untuk membeli itu ada, namun, hajat itu terbantut sama sekali diakibatkan satu peristiwa. Sedang elok saya membelek alat-alat solekan yang terdapat di dalam butik tersebut, tiba-tiba salah seorang pekerja di situ bersuara;

Pekerja: Geram betul aku tadi ada customer ni, setengah jam aku tunggu dia. Dia belek itu belek ni,
              last-last, ko tau ape yang dia beli? Ada la beli dua barang je.

      Percakapan itu dilepaskan kepada rakannya yang juga pekerja di situ. Sebaik sahaja mendengar, saya terus mematikan hajat saya dan keluar dari butik tersebut. Bukan niat untuk kurang hajar, tetapi saya amat kesal dengan apa yang telah keluar dari mulut pekerja tersebut. Sebagai pekerja, dia seharusnya menjaga hati pelanggan. Saya turut terasa hati apabila dia menyatakan pelanggan tersebut membelek terlalu lama tetapi hanya membeli dua barang. Sedangkan saya juga membelek barang di situ untuk membelinya. Jika saya hanya membeli satu barang, adakah saya juga akan diumpat seperti itu? Lebih baik saya tidak membeli di situ.

      Pekerja tersebut boleh melontarkan rasa tidak puas hatinya itu kepada rakan-rakannya. Namun, perkara itu harus dilakukan bukan di hadapan para pelanggan. Para pelanggan pasti akan berasa hati dengan percakapannya itu. Pekerja tersebut harus menerima sebagaimanapun perangai pelanggan kerana pelanggan sentiasa betul. Pelanggan mempunyai hak untuk memilih yang terbaik untuk dirinya. Selain itu, pelangganlah juga penggerak kepada sesuatu perniagaan itu. Oleh itu, setiap pekerja di pusat perniagaan harusnya memiliki sahsiah yang baik serta berbudi bahasa terhadap pelanggannya.

Beginilah lebih kurang kawasan yang menempatkan alat-alat solek yang diceritakan.

Friday, February 18, 2011

Mari Membaca Surat Khabar

      Surat khabar adalah medium penyampai maklumat yang paling akrab dengan kita semua. Hal ini  demikian kerana, sememangnya mudah untuk kita mendapatkan surat khabar di mana-mana sahaja. Selain itu, memang surat khabar sangat penting kepada kita semua. Memiliki maklumat akan menyebabkan kita lebih berilmu serta mampu mengatasi masalah yang boleh berlaku dalam kehidupan kita seharian. 

      Dalam kebaikan surat khabar, terselit juga sifat buruk yang sering dipaparkan di dada surat khabar. Hal ini ialah mengenai bertapa kedekutnya orang surat khabar terhadap ruang yang digunakan. Bagi orang surat khabar, setiap ruang yang ada adalah sangat beharga dan perlu disumbat dengan maklumat semampat-mampatnya. Berikutan hal ini, maka terjadinya penyingkatan ayat atau frasa di dalam surat khabar. 

      Orang surat khabar sepertinya diberikan hak untuk memotong mana-mana perkataan yang difikirkan tidak perlu. Sebagai contoh, kata sendi atau kata hubung dan tidak lupa juga imbuhan. Mari kita lihat contoh yang saya peroleh dari salah sebuah surat khabar tempatan.


      Polis tumpas pencuri kereta cuba tembak. Jika kita membaca tajuk ini secara kasar, maka kita pasti akan keliru atau tidak faham maksud yang hendak disampaikan. Boleh jadi maklumat yang hendak disampaikan ialah polis tumpas, kerana pencuri kereta cuba menembak polis tersebut. Namun, bukan itu maksud sebenar tajuk ini. Sebaliknya, pencuri keretalah yang tumpas walaupun cuba untuk menembak polis yang terlibat. 

      Kita boleh lihat dengan jelas kekeliruan yang timbul akibat daripada penyingkatan ini. Pembaca boleh menjadi salah faham dan akhirnya maklumat yang hendak disampaikan tidak sampai kepada mereka. Sepatutnya taju berita tersebut sebegini; Polis berjaya menumpaskan pencuri kereta yang cuba untuk melepaskan tembakan. Hasilnya pembaca terus dapat memahami maksud tajuk berita tersebut.

UPSI-KELATE-UPSI


      Sebelum banyak perkataan yang bakal berjuntai dalam entry ini, saya ingin meminta maaf kepada sesiapa sahaja yang mungkin akan tersinggung dengan penulisan ini. Bukan niat untuk mengaibkan mana-mana pihak, sekadar sebagai pengajaran sesama kita.

      Sememangnya banyak iklan terutamanya iklan bas yang terpampang pada setiap ruang yang boleh sama ada di kampus, atau di bilik-bilik kuliah. Saya pula, tidak akan tertarik dengan iklan-iklan sebegini kerana tiada kaitan dengan saya memandangkan saya sememangnya menetap di Tanjong Malim ini. Kebanyakan dan kebiasaannya iklan-iklan ini merupakan iklan perkhidmatan bas untuk mereka yang ingin pulang ke kampung halaman semasa cuti semesta. Sesungguhnya mereka yang berusaha untuk mewujudkan perkhidmatan ini haruslah dipuji kerana perkara ini sangat diperlukan sebagai kemudahan kepada para pelajar UPSI.

      Masa yang ada semasa menunggu rakan mengambil beg di ruangan menyimpan beg di perpustakaan Tunku Bainun, telah menyebabkan saya terbaca satu iklan perkhidmatan bas ini. Sangat mengejutkan! Terdapat beberapa kesalahan tatabahasa yang terpampang pada iklan tersebut. Namun, apa yang ingin saya ketengahkan di sini ialah rangkaian kata 'UPSI-KELATE-UPSI'.

      Kesalahan yang terdapat di situ ialah perkataan KELATE tersebut. Kelate merupakan sebutan bagi negeri Kelantan dalam loghat negeri Kelantan itu sendiri. Iklan adalah sesuatu medium pemberitahuan atau perkongsian maklumat yang penting. Iklan juga haruslah mampu untuk menarik perhatian pembaca. Namun, jika penggunaan Kelate adalah usaha pelaku untuk menarik ramai pembaca, hal ini adalah sama sekali tidak betul. Iklan seharusnya lebih formal kerana iklan ini akan dibaca oleh semua lapisan masyarakat yang mana bahasa standard merupakan penghubungjalinnya. Namun, perkara ini tidak berlaku kepada iklan ini. Malah, hal ini akan menimbulkan kekeliruan kepada mereka yang tidak memahami apa maksud Kelate itu sendiri.

      Oleh itu, seharusnya ada pihak yang memantau dan mengawasi penyebaran iklan ini dari segi ejaan dan tatabahasanya. Bukan kerana apa, kita berada dalam ruang lingkup institusi pengajian yang mana di kelilingi oleh ahli akademik dan intelektual. Perkara ini hanyalah memalukan dan tidak menghormati sesetengah pihak. Semoga ada pihak yang akan mengambil tindakan.

Monday, February 14, 2011

Cerita Abah

      Ayah saya yang dipanggil abah, sejak selepas pencen, abah memang banyak berjalan. Tidak mengapalah, urusan kerja. Dalam sibuk menguruskan segala urusannya, abah pasti tidak akan mengabaikan soal kesihatan diri. Oleh itu, selalulah abah ke Hospital Kuala Lumpur bagi melakukan pemeriksaan atau juga sekadar untuk mengambil ubat.

      Siang tadi abah telah ke hospital lagi. Kebiasaannya abah akan berteman tetapi kali ini tidak kerana abah mempunyai urusan lain selepas itu. Keadaan abah sememangnya baik, cuma abah sekadar inginkan yang terbaik untuk kesihatannya sahaja. Abah pulang dengan cerita.

      Cerita abah, abah telah menegur seorang doktor muda di hospital tadi. Kata abah, doktor tersebut telah menggunakan kata ganti diri kedua, 'awak' kepada abah. Lalu abah menegur,
'Doktor tidak boleh panggil saya 'awak'. Saya ni pensyarah bahasa'

      Sejurus itu, doktor tersebut terus diam kerana malu. Bukan niat abah untuk memalukan doktor tersebut. Sebaliknya abah menegur kerana dia melakukan kesalahan. Dari segi etikanya, doktor tersebut harus memanggil pesakitnya dengan panggilan encik, puan atau cik, sama ada kedudukan seseorang pesakit itu lebih rendah atau lebih tinggi darinya. Tambah abah lagi, doktor tersebut membahasakan dirinya 'aku' apabila bercakap dengan jururawat yang bekerja dengannya. Hal itu juga salah dari segi etikanya. 'Aku' digunakan mungkin untuk menampakkan kemesraan, tetapi hal ini salah kerana doktor merupakan satu profesyen yang tinggi, maka 'aku' adalah salah sama sekali untuk digunakan.

      Saya selalu berpendapat bahawa martabat seseorang itu terletak pada bahasanya. Maksudnya, seseorang itu yahu menyesuaikan bahasanya dengan situasi yang sedang dilaluinya. Pada hemat saya, waktu bekerja adalah waktu yang formal. Oleh itu, segala urusan yang berlaku ketika itu seharusnya berlaku dalam keadaan yang formal. Saya juga berpendapat bahawa, seseorang doktor itu harus menggunakan bahasa yang baik kerana doktor adalah salah satu pekerjaan yang mulia. Janganlah kemuliaan pekerjaan itu dirosakkan dengan bahasa yang tidak beretika. Kerana itulah, bahasa sangat penting dalam kehidupan manusia sejagat.

Friday, February 11, 2011

Kerja Kahwin


 Sekadar hiasan

Mahu dikatakan cuti sekolah, tidak. Namun, sekarang ini seolah-olah  sedang berlangsungnya cuti sekolah kerana dibanjiri oleh undangan perkahwinan. Setiap minggu, ada sahaja pasangan yang bakal melangsungkan hari berbahagia mereka. Syukurlah, makin banyak masjid yang didirikan dengan penuh keberkatan. 

                Bercerita soal perkahwinan, baru-baru ini saya dikejutkan dengan frasa yang agak lain untuk frasa ‘kenduri kahwin’.  Bersembang soal kerja kursus bersama-sama sahabat sekelas, Enie, akhirnya telah memandu kami ke arah perbualan tentang aktiviti seharian.  Pada hari Sabtu ini, saya dan beberapa rakan kelas yang lain akan ke rumah pensyarah kami sempena majlis perkahwinan anak beliau. Namun, ‘kerja kahwin’ adalah frasa yang terkeluar dari mulut Enie. Pelik, apakah maksud frasa ini?

                Setelah ditanya, barulah saya faham, ‘kerja kahwin’ bermaksud kenduri kahwin. Frasa ini biasanya disebut oleh penduduk di Johor. Namun, saya tidak pasti spesifikasi kelompok tertentu yang menggunakan frasa ini. Ditanya lagi, ‘Tidakkah ada frasa kenduri kahwin yang digunakan?’ Enie menjelaskan bahawa jika menyebut ‘kenduri’,  perkara ini adalah merujuk kepada majlis seperi majlis bacaan Yasin ataupun doa selamat.  Begitulah ceritanya.

Idea yang boleh saya fikirkan ialah, mungkin frasa ini digunakan oleh penduduk tempatan sejak dahulu lagi. Hal ini mungkin merujuk kepada situasi di mana apabila terdapat kenduri kahwin yang bakal berlangsung, maka penduduk setempat akan berkumpul dan bergotong-royong untuk menyiapkan segala kelengkapan untuk majlis itu kelak. Terlalu banyak kerja yang harus diselesaikan. Oleh itu, lahirlah frasa ‘kerja kahwin’ yang diungkapkan sebagai merujuk kepada situasi kenduri kahwin. Barangkali.

Wednesday, February 9, 2011

Bahasa Ibunda yang Dipertahankan

      Sedarkah kita bahawa pendidikan boleh menjadi landasan perhubungan dunia? Dunia dewasa kini tanpa sempadan. Oleh itu, setiap negara di dunia ini saling memerlukan antara satu sama lain. Hal ini termasuklah soal pendidikan. Ramai pelajar tempatan di mana-mana negara yang merantau ke negara luar untuk mendapatkan pendidikan yang paling baik, bukan untuk diri sendiri, malah juga untuk kepentingan negara asalnya. Oleh itu, berlakulah penghijrahan para pelajar untuk menuntut ilmu dalam bidang masing-masing.

      Terlalu besar aspek pendidikan jika hendak diceritakan. Namun, saya hanya ingin menyentuh soal bahasa. Semua tahu, bahasa Inggeris adalah merupakan bahasa pengantar dunia ketika ini. Sepertinya, setiap pelajar yang hendak menuntut ilmu di luar negara HARUS mempelajari bahasa Inggeris. Namun, hal ini tidak releven bagi mereka yang ingin melanjutkan pengajian di negara Korea dan Jepun, sebagai contohnya. Mengapa? Inilah yang dikatakan jati diri berakar dalam diri mereka yang mempertahankan bahasa ibunda masing-masing.

      Mari kita buka mata besar-besar. Pelajar yang bakal melanjutkan pengajian di negara Jepun, misalnya perlu menjalani kursus intensif bahasa Jepun. Hal ini berikutan di negara Jepun, hanya bahasa ibunda yang dijadikan medium komunikasi tidak kiralah sama ada bagi tujuan pentadbiran, perubatan, kehakiman, pendidikan, dan juga aktiviti sosial yang lain. Nah, di sinilah kita dapat lihat bertapa dalamnya akar jati diri itu dalam diri setiap warga Jepun. Mereka tidak mahu menerima kemasukan bahasa luar, apatah lagi bahasa Inggeris di dalam semua jenis komunikasi di negara matahari terbit itu. Hal inilah yang menyebabkan pelajar asing yang ingin melanjutkan pelajaran di sana, perlu menguasai bahasa Jepun terlebih dahulu. Jika tidak, lupakan saja hasrat itu.

      Begitulah hebatnya pegangan bahasa ibunda oleh orang-orang Jepun. Hasilnya, negara mereka maju, bukan? Hal ini membuktikan bahawa budaya dan bahasa ibunda tidak akan pernah menghalang sesebuah negara itu untuk berada di persada dunia. Persoalannya, mengapakah negara Malaysia tercinta ini tidak boleh menjadi begitu? Hendak seribu daya, tak hendak, seribulah dalihnya.

Indahnya negara Jepun

Pengadil Bola Sepak dengan Senjatanya

      Jujur, saya bukanlah peminat sukan bola sepak. Wajarlah kaum perempuan biasa, beranggapan bahawa penat dan letih untuk melihat sekumpulan manusia berkejaran semata-mata untuk mendapatkan sebiji bola. Kemudian, bola yang diperoleh, disepak pula. Namun, semenjak berlangsungnya Piala Suzuki 2010 yang lepas, saya sepertinya terkeluar dari kelompok wanita tipikal itu. Hati ini membuak-buak menyokong pasukan negara menentang pasukan luar dalam perlawanan bola sepak ini. Benarlah, bukan mahu memuji diri, tetapi mungkin dek kerana semangat sayangkan negara yang mendorong saya untuk menjadi sedemikian rupa.

      Berikutan kemenangan pasukan negara memperoleh Piala Suzuki tersebut, bagaikan sukar untuk diri ini membiarkan diri terlepas dari menyaksikan perlawanan persahabatan antara pasukan negara dengan pasukan Hong Kong sebentar tadi. Walaupun hanya perlawanan persahabatan, setia saya menanti sehingga minit yang terakhir. Tidak sia-sia, kerana akhirnya pasukan kita berjaya mengalahkan pasukan lawan dengan keputusan 2 -1. Tahniah Malaysia!

      Dalam pada memerhati dengan teliti setiap pergerakan pemain semasa perlawanan berlangsung, sesekali timbul idea mengenai pengadil perlawanan tersebut. Selain mempersoalkan warna baju di dalam hati, saya juga berfikir soal kekuasaan si pengadil tersebut. Hebat! Apabila bunyi wisel pengadil bagaikan menjadi senjata yang boleh memberhentikan setiap pergerakan pemain. Mungkin saya tidak faham undang-undangnya, namun perkara yang saya pasti, apabila berlaku kesalahan, pengadil akan membunyikan wiselnya. Itulah senjata si pengadil.

      Menakjubkan, itulah penangan si pengadil dengan senjatanya itu. Lihat, terdapat dua pendukung bahasa utama yang berbeza di atas padang itu; pendukung bahasa Melayu, dan pendukung bahasa ibunda Hong Kong. Saya pasti, tidak semua pemain di atas padang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris yang menjadi bahasa pengantar antara mereka. Namun, dengan menolak perkiraan itu, apabila sang wisel mengeluarkan bunyinya, setiap pemain secara automatiknya memahami mesej yang hendak disampaikan. Oleh itu, pada hemat saya, bunyi wisel adalah dikategorikan sebagai bahasa universal yang boleh difahami oleh setiap orang, tidak kiralah sama ada pengadil, pemain, penyokong, malah sesiapa sahaja yang berlainan bangsa serta bahasa. Bunyi wisel juga bagaikan berkuasa untuk mengawal keadaan dan manusia yang terlibat. Hebat kau, wisel!

Pemain Bola Sepak Malaysia

Penangan Sang Wisel


Sunday, February 6, 2011

Orang Kedah yang tidak Berbahasa Utara

      Sungai Petani, Kedah bukanlah asing kini bagi saya. Mana tidaknya, semenjak adik bongsu menyambung pengajiannya di UITM kampus Merbok, kami sekeluarga pasti akan berulang ke sana demi urusan adik. Agak jauh kedudukannya. Namun, apabila sudah sering ke sana, perjalanan yang jauh itu sudah menjadi seperti biasa-biasa sahaja. 

      Memang adat apabila kita ke utara, pasti akan mendengar penduduknya berkomunikasi menggunakan loghat Utara. Namun, perjalanan yang lain sedikit semasa cuti Tahun Baru Cina yang lepas telah memberikan saya sedikit idea yang berbeza. Berpeluang untuk ke Sungai Petani, Kedah bersama teman bagi meraikan majlis pertunangan sahabat rapatnya, juga bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain, itulah bezanya. Pengalaman yang begitu mengujakan! Ke Sungai Petani bukan kerana adik, lain rasanya.

      Layanan yang diberikan oleh seluruh ahli keluarga bagi insan yang dirai sangatlah mesra dan selesa. Sepanjang di sana, saya merasakan seperti tinggal bersama keluarga sendiri. Namun, menjadi kepelikan apabila keluarga yang terlibat langsung tidak bertutur atau terkeluar sedikit perkataan dalam loghat Utara. Pelik bukan? Walhal saya ketika itu benar-benar berada di Kedah. Setelah bertanya, barulah saya faham. Keluarga ini bukanlah berasal dari negeri Kedah. Sebaliknya, mereka ini dari Johor sebelum berpindah ke Sungai Petani. Barulah saya faham keadaanya.

      Hal ini telah memberikan saya suatu pemikiran bahawa, tidak semestinya penduduk di sesuatu kawasan itu akan bertutur dalam bahasa tempatan. Hal ini demikian kerana, manusia datangnya dari pelbagai latar masyarakat. Semuanya berbeza, oleh itu tidak mustahil untuk hal seperti ini terjadi. Walau bagaimanapun, tidak mustahil juga untuk ahli keluarga ini lambat laun akan bertutur menggunakan loghat Utara. Masuk kandang lembu menguak, masuk ladang kambing mengembek.


Selamat Bertunang Arafat Hasmanizar dan pasangannya Ruzanna Rozainul.

Wednesday, February 2, 2011

Itik Bercakap dengan Ayam

      Sedang memikirkan idea untuk entry blog ini, tiba-tiba saya teringatkan kisah sewaktu menjalani ibadah umrah pada tahun 2002. Agak muda waktu itu. Namun, rezeki dan penerimaan yang Esa untuk saya ke sana tidak dapat ditolak, malah sangat saya bersyukur terhadapnya. Suatu pengalaman yang sangat mengujakan bila saya bersama keluarga ke sana pada bulan Ramadhan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri di sana. Walau bagaimana hujan batu di negara sendiri sekalipun, lebih baik di negara sendiri. Mana tidaknya, hari raya di sana pada pendapat saya, sungguh tidak meriah. Tiada sambutan, malah takbir raya juga tidak kedengaran. Sebaliknya, penduduk di kawasan Tanah Suci menjalankan aktiviti seharian mereka seperti biasa. Bagi mereka, bulan Ramadhanlah yang paling bermakna, bukan bulan Syawal.

      Tidak menjadi masalah. Terpulanglah kepada penerimaan dan keterbukaan sesuatu kaum itu. Setidak-tidaknya, saya pernah punya pengalaman itu. Sememangnya ramai umat manusia yang berkumpul di Tanah Suci Mekah. Mereka datang dari segenap pelosok dunia seperti, Iran, Afrika, Pakistan, India, Malaysia, Indonesia, Brunei dan pelbagai negara lain yang mempunyai rakyat beragama Islam. Bagi mereka yang mempunyai wang, tiada masalah, mereka datang secara halal n betul. Namun, bagi mereka yang tidak mempunyai wang, hanya berbekalkan tekad, mereka datang secara haram malah, ada yang sanggup berjalan kaki berbulan-bulan untuk ke sana. SubhanaAllah. Ketika melihat keadaan merekahlah, saya berasa amat bersyukur kerana menjadi rakyak Malaysia.

      Itik bercakap dengan ayam. Begitulah keadaannya yang berlaku semasa saya di Masjid Nabawi di Madinah. Selesai menunaikan solat, saya dan adik hendak mengambil air zam-zam. Tiba di kawasannya, saya hanya berdiri memerhati sedang adik mengambil air tersebut. Tiba-tiba seorang perempuan dewasa di sebelah saya bersuara, seolah-olah berbicara dengan saya. Namun, walau sebutir perkataan yang lahir dari mulutnya tidak dapat saya fahami, kerana beliau berbangsa Arab. Beliau bercakap seolah-olah saya memahaminya. Saya hanya senyum, sambil menganggukkan kepala. Pada hemat saya, mungkin wanita itu menceritakan soal gelas yang tidak cukup untuk mengambil air zam-zam.

      Dalam pada itu, terfikir juga saya, bahasa tidak membataskan pergaulan. Namun, sayang sekali jika idea yang hendak disampaikan itu tidak sampai kepada penerima. Malah, komunikasi begitu tidak berkesan. Itulah yang dikatakan bagai itik bercakap dengan ayam. Kedua-duanya mempunyai bahasa yang berlainan dan tidak boleh difahami antara satu sama lain. Akhirnya, hanya senyuman menjadi penyelamat bagi segala-galanya. =D

Api Kereta

     Teringat saya pada satu hal di mana, sewaktu di tingkatan empat guru bahasa Inggeris saya sering mengetengahkan suatu perkara yang disebut sebagai 'api kereta'. Apakah maksudnya? Istilah ini diberikan oleh guru tersebut pada situasi di mana seseorang itu melakukan translasi terus dari bahasa Melayu, kepada bahasa Inggeris. Almaklum, susunan subjek dan predikat dalam ayat bagi kedua-dua bahasa ini berlainan; bahasa Melayu, subjek+predikat manakala bahasa Inggeris, predikat+subjek. Oleh itu, jika salah satu bahasa ini dilakukan translilasi terus ke atasnya, maka struktur ayat yang terhasil pasti akan rosak. Lantas, terjadilah 'api kereta'.






      Sedang leka melihat foto-foto seorang kawan di laman sesawang Facebook, tiba-tiba saya terhenti pada gambar di atas. Mengapa jurugambar mengambil gambar papan tanda yang kelihatan seolah-oleh biasa ini? Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Setelah diteliti, barulah saya mendapati puncanya. Lihat sahajalah pada tulisan di dalamnya. 

PERHATIAN
MANDILAH SELALU DIANTARA DUA
BENDERA MERAH KUNING

      Sangat janggal apabila terdapatnya perkataan SELALU dalam frasa tersebut. Mengapa harus SELALU? Kemudian saya mendapat idea, dari mana tercetusnya minda si pelaku untuk menghasilkan frasa tersebut. Hal ini berlaku disebabkan oleh berlakunya tranlasi terus dari bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Iaitu;

NOTICE
ALWAYS SWIM BETWEEN TWO
RED YELLOW FLAGS

Nah... saya membuat keputusan bahawa si pelaku ini arif dalam bahasa Inggeris, tetapi tidak dalam bahasa Melayu. Memang kalau mahu diikutkan, mesej itu betul, tetapi menyampaiannya salah. Sepatutnya si pelaku menghasilkan frasa sebegini;


PERHATIAN
SENTIASA MANDI DI ANTARA DUA
BENDERA MERAH KUNING

      Perkataan 'always' telah ditranslasi kepada 'selalu' yang mana tidak bersesuaian jika dilihat pada konteks frasa tersebut. Sebaliknya, 'sentiasa' adalah perkataan yang lebih cocok. Oh, ya! Terdapat satu lagi kesalahan iaitu cara penulisan 'diantara' yang sepatutnya 'di antara'.  Hal ini demikian kerana, 'di' yang diikuti oleh 'antara' bukanlah merupakan imbuhan. Oleh itu, 'di' dan 'antara' haruslah dijarakkan.

      Pada hemat saya, sesiapa sahaja iaitu pemakai bahasa haruslah tahu menggunakan bahasanya dengan sebaik mungkin. Bukan hanya bahasa lisan, malah bahasa penulisan juga. Hal ini kerana, orang boleh menilai peribadi seseorang itu melalui bahasa yang dipakainya. Maaflah, mungkin tidak semua, tetapi orang-orang bahasa seperti saya dan rakan sefakulti sangat sensitif akan hal ini.