Wednesday, February 9, 2011

Bahasa Ibunda yang Dipertahankan

      Sedarkah kita bahawa pendidikan boleh menjadi landasan perhubungan dunia? Dunia dewasa kini tanpa sempadan. Oleh itu, setiap negara di dunia ini saling memerlukan antara satu sama lain. Hal ini termasuklah soal pendidikan. Ramai pelajar tempatan di mana-mana negara yang merantau ke negara luar untuk mendapatkan pendidikan yang paling baik, bukan untuk diri sendiri, malah juga untuk kepentingan negara asalnya. Oleh itu, berlakulah penghijrahan para pelajar untuk menuntut ilmu dalam bidang masing-masing.

      Terlalu besar aspek pendidikan jika hendak diceritakan. Namun, saya hanya ingin menyentuh soal bahasa. Semua tahu, bahasa Inggeris adalah merupakan bahasa pengantar dunia ketika ini. Sepertinya, setiap pelajar yang hendak menuntut ilmu di luar negara HARUS mempelajari bahasa Inggeris. Namun, hal ini tidak releven bagi mereka yang ingin melanjutkan pengajian di negara Korea dan Jepun, sebagai contohnya. Mengapa? Inilah yang dikatakan jati diri berakar dalam diri mereka yang mempertahankan bahasa ibunda masing-masing.

      Mari kita buka mata besar-besar. Pelajar yang bakal melanjutkan pengajian di negara Jepun, misalnya perlu menjalani kursus intensif bahasa Jepun. Hal ini berikutan di negara Jepun, hanya bahasa ibunda yang dijadikan medium komunikasi tidak kiralah sama ada bagi tujuan pentadbiran, perubatan, kehakiman, pendidikan, dan juga aktiviti sosial yang lain. Nah, di sinilah kita dapat lihat bertapa dalamnya akar jati diri itu dalam diri setiap warga Jepun. Mereka tidak mahu menerima kemasukan bahasa luar, apatah lagi bahasa Inggeris di dalam semua jenis komunikasi di negara matahari terbit itu. Hal inilah yang menyebabkan pelajar asing yang ingin melanjutkan pelajaran di sana, perlu menguasai bahasa Jepun terlebih dahulu. Jika tidak, lupakan saja hasrat itu.

      Begitulah hebatnya pegangan bahasa ibunda oleh orang-orang Jepun. Hasilnya, negara mereka maju, bukan? Hal ini membuktikan bahawa budaya dan bahasa ibunda tidak akan pernah menghalang sesebuah negara itu untuk berada di persada dunia. Persoalannya, mengapakah negara Malaysia tercinta ini tidak boleh menjadi begitu? Hendak seribu daya, tak hendak, seribulah dalihnya.

Indahnya negara Jepun

No comments:

Post a Comment