Wednesday, February 2, 2011

Api Kereta

     Teringat saya pada satu hal di mana, sewaktu di tingkatan empat guru bahasa Inggeris saya sering mengetengahkan suatu perkara yang disebut sebagai 'api kereta'. Apakah maksudnya? Istilah ini diberikan oleh guru tersebut pada situasi di mana seseorang itu melakukan translasi terus dari bahasa Melayu, kepada bahasa Inggeris. Almaklum, susunan subjek dan predikat dalam ayat bagi kedua-dua bahasa ini berlainan; bahasa Melayu, subjek+predikat manakala bahasa Inggeris, predikat+subjek. Oleh itu, jika salah satu bahasa ini dilakukan translilasi terus ke atasnya, maka struktur ayat yang terhasil pasti akan rosak. Lantas, terjadilah 'api kereta'.






      Sedang leka melihat foto-foto seorang kawan di laman sesawang Facebook, tiba-tiba saya terhenti pada gambar di atas. Mengapa jurugambar mengambil gambar papan tanda yang kelihatan seolah-oleh biasa ini? Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Setelah diteliti, barulah saya mendapati puncanya. Lihat sahajalah pada tulisan di dalamnya. 

PERHATIAN
MANDILAH SELALU DIANTARA DUA
BENDERA MERAH KUNING

      Sangat janggal apabila terdapatnya perkataan SELALU dalam frasa tersebut. Mengapa harus SELALU? Kemudian saya mendapat idea, dari mana tercetusnya minda si pelaku untuk menghasilkan frasa tersebut. Hal ini berlaku disebabkan oleh berlakunya tranlasi terus dari bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Iaitu;

NOTICE
ALWAYS SWIM BETWEEN TWO
RED YELLOW FLAGS

Nah... saya membuat keputusan bahawa si pelaku ini arif dalam bahasa Inggeris, tetapi tidak dalam bahasa Melayu. Memang kalau mahu diikutkan, mesej itu betul, tetapi menyampaiannya salah. Sepatutnya si pelaku menghasilkan frasa sebegini;


PERHATIAN
SENTIASA MANDI DI ANTARA DUA
BENDERA MERAH KUNING

      Perkataan 'always' telah ditranslasi kepada 'selalu' yang mana tidak bersesuaian jika dilihat pada konteks frasa tersebut. Sebaliknya, 'sentiasa' adalah perkataan yang lebih cocok. Oh, ya! Terdapat satu lagi kesalahan iaitu cara penulisan 'diantara' yang sepatutnya 'di antara'.  Hal ini demikian kerana, 'di' yang diikuti oleh 'antara' bukanlah merupakan imbuhan. Oleh itu, 'di' dan 'antara' haruslah dijarakkan.

      Pada hemat saya, sesiapa sahaja iaitu pemakai bahasa haruslah tahu menggunakan bahasanya dengan sebaik mungkin. Bukan hanya bahasa lisan, malah bahasa penulisan juga. Hal ini kerana, orang boleh menilai peribadi seseorang itu melalui bahasa yang dipakainya. Maaflah, mungkin tidak semua, tetapi orang-orang bahasa seperti saya dan rakan sefakulti sangat sensitif akan hal ini.

No comments:

Post a Comment