Monday, February 14, 2011

Cerita Abah

      Ayah saya yang dipanggil abah, sejak selepas pencen, abah memang banyak berjalan. Tidak mengapalah, urusan kerja. Dalam sibuk menguruskan segala urusannya, abah pasti tidak akan mengabaikan soal kesihatan diri. Oleh itu, selalulah abah ke Hospital Kuala Lumpur bagi melakukan pemeriksaan atau juga sekadar untuk mengambil ubat.

      Siang tadi abah telah ke hospital lagi. Kebiasaannya abah akan berteman tetapi kali ini tidak kerana abah mempunyai urusan lain selepas itu. Keadaan abah sememangnya baik, cuma abah sekadar inginkan yang terbaik untuk kesihatannya sahaja. Abah pulang dengan cerita.

      Cerita abah, abah telah menegur seorang doktor muda di hospital tadi. Kata abah, doktor tersebut telah menggunakan kata ganti diri kedua, 'awak' kepada abah. Lalu abah menegur,
'Doktor tidak boleh panggil saya 'awak'. Saya ni pensyarah bahasa'

      Sejurus itu, doktor tersebut terus diam kerana malu. Bukan niat abah untuk memalukan doktor tersebut. Sebaliknya abah menegur kerana dia melakukan kesalahan. Dari segi etikanya, doktor tersebut harus memanggil pesakitnya dengan panggilan encik, puan atau cik, sama ada kedudukan seseorang pesakit itu lebih rendah atau lebih tinggi darinya. Tambah abah lagi, doktor tersebut membahasakan dirinya 'aku' apabila bercakap dengan jururawat yang bekerja dengannya. Hal itu juga salah dari segi etikanya. 'Aku' digunakan mungkin untuk menampakkan kemesraan, tetapi hal ini salah kerana doktor merupakan satu profesyen yang tinggi, maka 'aku' adalah salah sama sekali untuk digunakan.

      Saya selalu berpendapat bahawa martabat seseorang itu terletak pada bahasanya. Maksudnya, seseorang itu yahu menyesuaikan bahasanya dengan situasi yang sedang dilaluinya. Pada hemat saya, waktu bekerja adalah waktu yang formal. Oleh itu, segala urusan yang berlaku ketika itu seharusnya berlaku dalam keadaan yang formal. Saya juga berpendapat bahawa, seseorang doktor itu harus menggunakan bahasa yang baik kerana doktor adalah salah satu pekerjaan yang mulia. Janganlah kemuliaan pekerjaan itu dirosakkan dengan bahasa yang tidak beretika. Kerana itulah, bahasa sangat penting dalam kehidupan manusia sejagat.

No comments:

Post a Comment