Sedang memikirkan idea untuk entry blog ini, tiba-tiba saya teringatkan kisah sewaktu menjalani ibadah umrah pada tahun 2002. Agak muda waktu itu. Namun, rezeki dan penerimaan yang Esa untuk saya ke sana tidak dapat ditolak, malah sangat saya bersyukur terhadapnya. Suatu pengalaman yang sangat mengujakan bila saya bersama keluarga ke sana pada bulan Ramadhan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri di sana. Walau bagaimana hujan batu di negara sendiri sekalipun, lebih baik di negara sendiri. Mana tidaknya, hari raya di sana pada pendapat saya, sungguh tidak meriah. Tiada sambutan, malah takbir raya juga tidak kedengaran. Sebaliknya, penduduk di kawasan Tanah Suci menjalankan aktiviti seharian mereka seperti biasa. Bagi mereka, bulan Ramadhanlah yang paling bermakna, bukan bulan Syawal.
Tidak menjadi masalah. Terpulanglah kepada penerimaan dan keterbukaan sesuatu kaum itu. Setidak-tidaknya, saya pernah punya pengalaman itu. Sememangnya ramai umat manusia yang berkumpul di Tanah Suci Mekah. Mereka datang dari segenap pelosok dunia seperti, Iran, Afrika, Pakistan, India, Malaysia, Indonesia, Brunei dan pelbagai negara lain yang mempunyai rakyat beragama Islam. Bagi mereka yang mempunyai wang, tiada masalah, mereka datang secara halal n betul. Namun, bagi mereka yang tidak mempunyai wang, hanya berbekalkan tekad, mereka datang secara haram malah, ada yang sanggup berjalan kaki berbulan-bulan untuk ke sana. SubhanaAllah. Ketika melihat keadaan merekahlah, saya berasa amat bersyukur kerana menjadi rakyak Malaysia.
Itik bercakap dengan ayam. Begitulah keadaannya yang berlaku semasa saya di Masjid Nabawi di Madinah. Selesai menunaikan solat, saya dan adik hendak mengambil air zam-zam. Tiba di kawasannya, saya hanya berdiri memerhati sedang adik mengambil air tersebut. Tiba-tiba seorang perempuan dewasa di sebelah saya bersuara, seolah-olah berbicara dengan saya. Namun, walau sebutir perkataan yang lahir dari mulutnya tidak dapat saya fahami, kerana beliau berbangsa Arab. Beliau bercakap seolah-olah saya memahaminya. Saya hanya senyum, sambil menganggukkan kepala. Pada hemat saya, mungkin wanita itu menceritakan soal gelas yang tidak cukup untuk mengambil air zam-zam.
Dalam pada itu, terfikir juga saya, bahasa tidak membataskan pergaulan. Namun, sayang sekali jika idea yang hendak disampaikan itu tidak sampai kepada penerima. Malah, komunikasi begitu tidak berkesan. Itulah yang dikatakan bagai itik bercakap dengan ayam. Kedua-duanya mempunyai bahasa yang berlainan dan tidak boleh difahami antara satu sama lain. Akhirnya, hanya senyuman menjadi penyelamat bagi segala-galanya. =D
No comments:
Post a Comment