Tuesday, March 15, 2011

Perkataan 'jangan' bagi Kanak-kanak

[Gambar: Google]


Peringkat awal kanak-kanak bermula selepas peringkat bayi, iaitu seseorang kanak-kanak itu mula boleh berjalan. Umur kanak-kanak pada peringkat ini ialah satu hingga tiga atau empat tahun. Kanak-kanak pada peringkat ini sudah memulakan pengeksplorasian terhadap alam sekelilingnya untuk belajar. 

Terlalu banyak perkara yang mereka ingin pelajari, sehinggakan tingkah laku mereka ada yang agresif. Maksudnya di sini ialah perlakuannya berlaku secara sangat aktif. Hal ini sebenarnya sangat bagus untuk kanak-kanak pada peringkat ini, kerana perkara ini akan menggalakkan penggunaan minda mereka juga secara aktif. Walau bagaimanapun, sesetengah ibu bapa tidak faham akan hal ini, lalu mereka menganggap bahawa anak mereka itu nakal. Nakal kerana berlari ke sana ke sini, menyapa orang yang tidak dikenali, dan banyak lagi perkara yang sukar dikawal. Oleh itu, terkeluarlah perkataan 'jangan' dari mulut si ayah atau si emak.

'Jangan lari Adam, nanti jatuh!'

Sebenarnya, bagi kanak-kanak, apabila diberi larangan, hal ini hanya akan menggalakkan lagi mereka untuk berbuat sesuatu. Hal ini kerana, mereka belum lagi puas mempelajari sesuatu kerana dibantut oleh larangan tersebut. Oleh itu, mereka akan meneruskan aktiviti mereka tanpa mengendahkan larangan tersebut. Lantaran, ibu bapa sepatutnya tidak membantutkan setiap perlakuan anak mereka yang sedang belajar. Sebaliknya, ibu bapa patut memerhatikan dan mengawasi anak mereka supaya tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Hasilnya, seseorang kanak-kanak itu dapat membesar dengan penuh sesi pembelajaran sendiri sepanjang masa.

No comments:

Post a Comment