Tuesday, March 15, 2011

'Ia' untuk Benda Bernyawa

      

      Pada 5 Mac 2011 yang lepas, sempat diadakan majlis ilmu, Kelangsungan Tatatbahasa Dewan Dahulu dan Kini. Majlis ini mengundang tetamu khas iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safuah Karim dan juga En. Rusli bin Abd. Ghani dari Dewan Bahasa dan Pustakan. Secara peribadinya, pertemuan ini merupakan pertemuan yang kedua kalinya antara saya dengan Prof. Nik. Sebelum ini, saya dan teman, Anah, pernah berjumpa beliau di sebuah kedai nasi briani di Tanjong Malim ini. Semasa majlis ilmu ini berlangsung, saya berpeluang mengiringi Prof. Nik dan tetamu jemputan yang lain memandangkan saya diberi tugas di bawah ahli jawatankuasa protokol majlis.

      Banyak isu yang telah dibentangkan. Pembentangan turut dilakukan oleh pensyarah Sintaksis saya sendiri iaitu Puan Norliza Jamaludin. Namun, suatu hal yang menarik perhatian saya semasa Prof. Nik membuat pembentangan ialah, penggunaan 'ia' hanyalah untuk benda yang bernyawa. Hal ini menafikan sangkaan yang biasa kita buat, iaitu 'ia' digunakan untuk menggantikan benda yang bukan hidup. Kata Prof. Nik, hal ini salah sama sekali. Hal ini kerana, sememangnya struktur ayat bahasa Melayu itu, begitu. 

      Mari kita lihat perbezaan antara struktur ayat bahasa Inggeris, (yang mana menjadi rujukan utama si pembantah), dan juga struktur bahasa Melayu yang sebenarnya.


I have a pen. It is blue. (struktur ayat bahasa Inggeris)

      Ayat seperti inilah  yang menyebabkan terdapat sesetengah pihak yang memikirkan perlu adanya 'ia' yang digunakan sebagai kata nama ganti untuk benda tidak hidup.Namun, mereka harus ingat bahawa struktur ayat bahasa Inggeris dan struktur ayat bahasa Melayu adalah berbeza. Hal ini dapat diterangkan dengan contoh berikut.

Saya ada pen yang berwarna biru. (struktur ayat bahasa Melayu)

Ayat seperti inilah yang perlu digunakan. Dapat dilihat bahawa bahasa Melayu tidak memerlukan 'ia' sebagai kata ganti nama diri untuk benda tidak hidup.

      Walau bagaimanapun, terdapat mereka yang datangnya daripada bidang sains, tidak dapat menerima ketentuan ini. Lalu mereka mendesak pihak Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mewujudkan juga 'ia'. Oleh hal yang demikian, terpaksalah pihak DBP memasukkan 'ia' ke dalam Kamus Dewan edisi terbaru. Bagi kita sebagai pencinta bahasa, bolehlah membuat keputusan sendiri.

No comments:

Post a Comment