Penterjemahan bermaksud pertukaran yang berlaku kepada sesuatu bahasa asal, kepada suatu bahasa ibunda. Maksudnya, penterjemahan itu dilakukan oleh penterjemah dari suatu bahasa asing, kepada bahasa yang digunakan oleh penterjemah itu sendiri. Itu kebiasaannya. Namun, terdapat juga penterjemah yang menterjemah sesuatu bahasa kepada bahasa lain yang merupakan bukan bahasa ibundanya. Semua ini bergantung kepada kehendak, dan keupayaan seseorang penterjemah itu.
Penterjemahan biasanya dilakukan terhadap hasil penulisan seseorang, iaitu banyaknya kepada penulisan buku. Kebiasaannya juga, buku yang diterjemah merupakan buku-buku ilmiah yang digunakan untuk tujuan pendidikan. Penterjemahan ini penting bagi kita semua untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang biasanya ditemui oleh mereka dari negara luar. Kadang-kala, kelainan bahasa membataskan komunikasi. Oleh itu, hadirlah si penterjemah untuk merungkai masalah ini.
Walau bagaimanapun, bukanlah isu penterjemahan buku yang ingin saya isukan, namun sebaliknya. Hal yang saya maksudkan adalah penterjemahan bahasa di dalam cerita yang di tayangkan di kaca televisyen. Ya! Cerita-cerita dari luar negara juga kadang-kala diterjemah kepada bahasa Melayu. Apa yang terjadi ialah, suara asal para pelakon dialihkan, dan digantikan dengan suara lain yang bertutur dalam bahasa Melayu. Memang lucu juga kelihatannya kerana mulut yang bergerak lain, tetapi apa yang diujarkannya lain.
Walaupun kelihatan seperti merosakkan keaslian sesebuah cerita, tetapi boleh dikeluarkan dua kelebihan akibat daripada pengalihan suara ini. Pertama, perkara ini dapat menarik lebih banyak penonton kerana apabila telah dialih suara, maka jalan cerita tersebut lebih mudah difahami. Maka bertambahlah minat dan jumlah para penonton. Kedua, pengalihan bahasa asing kepada bahasa Melayu telah menunjukkan salah satu usaha untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat kita sendiri. Hal ini juga menunjukkan bahawa orang-orang media faham dan nampak bertapa pentingnya penggunaan bahasa Melayu dalam sesuatu bahan yang hendak ditayangkan. Selain memartabatkan bahasa Melayu, mereka juga dapat meningkatkan pendapatan sendiri. Lihatlah, masing-masing ada kepentingan dan kelebihan tersendiri.
No comments:
Post a Comment