Thursday, March 17, 2011

Kite Bakor! Bakor!

Bermula dengan Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Kala Malam Bulan Mengambang, dan terbaru, Hantu Kak Limah Balik Rumah,  merupakan filem-filem arahan pengarah yang sangat berbakat iaitu Mamat  Khalid. Beliau seolah-olah telah membawa suatu bukan pembaharuan, tetapi boleh dikatakan sebagai satu trend untuk dirinya sendiri dalam bidang perfileman negara. Trend yang saya maksudkan adalah, penggunaan seluruhnya loghat Perak dalam ketiga-tiga filemnya iaitu Man Laksa, Zombi Kampung  Pisang, dan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Paling menyeluruh penggunaan loghat Perak adalah di dalam filem  Zombi Kampung  Pisang, dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.



[Gambar:Google]

 

                Sememangnya Mamat Khalid telah dilahirkan dan dibesarkan di Ipoh, Perak. Oleh itu, beliau telah mengambil usaha untuk mengetengahkan loghat Perak di dalam filem-filemnya. Usaha ini sungguh membanggakan terutamanya saya yang juga merupakan anak jati negeri Perak. Filem-filem Mamat Khalid mempunyai nilai yang tersendiri sehingga mampu untuk menarik ramai penonton dari seluruh negara untuk menonton filem-filemnya. Syabas dan tahniah buat Mamat Khalid.
                Berikutan penggunaan loghat Perak dalam dialog filem-filemnya, hal ini telah menyebabkan perluasan atau penyebaran maklumat mengenai loghat Perak ke seluruh negeri di negara ini. Hal ini juga membanggakan apabila mereka yang bukannya dari negeri Perak, kini telah memahami sedikit sebanyak kosa kata dalam loghat Perak. Contohnya seperti; bakor, ate, dan ce.  Perkara ini sehinggakan kawan-kawan saya dari negeri Sabah juga boleh menyebut perkataan-perkataan dalam loghat Perak. Hal inilah yang menampakkan Mamat Khalid seorang pengarah yang hebat di mata saya, dan juga mungkin di mata masyarakat juga. Saya harap agar usaha untuk mengetengahkan loghat Perak ini akan terus dilakukan beliau dan terus diterima masyarakat.

No comments:

Post a Comment