Malam ini telah berlangsungnya sebuah acara yang cukup membanggakan saya sebagai rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu. Acara ulung itu ialah Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2011 Peringkat Akhir. Acara tersebut telah berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Putrajaya, di Putrajaya. Perkara yang membanggakan ialah majlis pidato ini disertai oleh peserta-peserta dari seluruh dunia seperti Jepun, Australia, Brunei, China, Palestin, German dan Turki. Kesemuanya seramai 59 peserta yang mewakili 54 negara.
Pidato Antarabangsa ini dengan hanya merujuk kepada tajuknya sahaja, pasti kita sudah dapat mengetahui bahawa pidato ini berjalan hanya dengan menggunakan bahasa Melayu sahaja. Menarik bukan? Ya, hal ini bermaksud setiap peserta haruslah menyampaikan teks pidatonya dengan menggunakan bahasa Melayu. Alhamdulillah, mereka semua berkeupayaan untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.Namun, pada malam ini hanya ditunjukkan peserta yang terpilih ke peringkat akhir sahaja yang menyampaikan pidato masing-masing. Terdapat dua kategori yang dipertandingkan, iaitu kategori Nusantara dan kategori Antarabangsa. Keputusannya, Malaysia menjuarai kategori Nusantara, manakala peserta dari Turki berjaya menjadi johan bagi kategori Antarabangsa. Tahniah dan syabas kepada pemenang!
Acara ini saya lihat, antara salah satu tindakan kerajaan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat dunia. Hal ini sememangnya salah satu cara yang saya pelajari di dalam subjek Sosiolinguistik, iaitu tindakan menyebarkan sesuatu bahasa. Apabila sesuatu bahasa itu hendak dikembangkan, maka perlunya individu atau organisasi yang berani memperkenalkan bahasanya, serta mengajar sehingga seseorang atau sesebuah kumpulan itu boleh menerima, dan seterusnya menggunakan bahasa Melayu.
Bukan tujuannya henda memelayukan bangsa lain, sebaliknya, hal ini dapat membuktikan bahawa bahasa Melayu senang, dan paling penting boleh diterima oleh manusia di serata dunia. Acara pertandingan Pidato Antarabangsa ini telah membuktikannya. Para peserta akhir tadi sopan dan manis apabila mengenakan busana tradisional Melayu iaitu songket. Mereka tidak kekok mengenakannya. Hal ini juga dapat membuktikan atau sepatutnya dapat membuka mata terutamanya golongan remaja tempatan, bahawasanya bahasa Melayu memiliki standardnya tersendiri. Jika warga asing boleh, mengapa tidak kita sendiri yang bertutur dengan baik dalam bahasa ibunda kita? Oleh itu, diharap dengan adanya acara seumpama ini, bahasa Melayu akan meluas lagi penyebarannya, dan juga anak-anak muda akan lebih menyayangi bahasa ibunda kita, bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment