Satwa. Pelik bukan? Mungkin kita tidak biasa mendengar perkataan ini. Namun, satwa sebenarnya bermaksud binatang dalam bahasa Indonesia. Sekadar ingin menambahkan kosa kata. Binatang adalah meriupakan makhluk Tuhan yang juga memiliki bahasanya tersendiri. Hal ini perlu kerana binatang sesama mereka juga mempunyai komunikasi untuk berhubung. Binatang dengan binatang pasti memahami bahasa mereka terutamanya bagi binatang yang sama jenisnya. Persoalannya, bagaimana pula kaitannya dengan manusia? Adakah manusia boleh memahami bahasa binatang?
Selepas kelas EDU tamat di bilik kuliah fakulti Muzik tamat, saya dan rakan sekelas, Anah mengambil masa sedikit untuk menunggu Enie dan Ida yang menunaikan solat di surau. Semasa menunggu, kami didatangi oleh seekor kucing yang sememangnya sudah hadir sejak dari sesi pembelajaran tadi berjalan. Kucing yang sarat mengandung itu mengeluarkan bunyi dan cuba mengambil simpati Anah. Maaf, saya alah pada kucing. Seperti memahami, kucing tersebut tidak menghampiri saya, sebaliknya kepada Anah. Anah juga sepertinya tidak kekok melayan kucing itu.
Sedang asyik menyaksikan perlakuan Anah dengan kucing tersebut, terfikirlah saya bahawa manusia juga boleh memahami bahasa binatang. Seperti apa yang sedang saya lihat, kucing itu merapati Anah sambil mengiau tidak sudah. Anah dapat memahami bahawa kucing tersebut meminta makanan untuk dirinya. Namun, sayang sekali kami berdua tidak mempunyai sebarang makanan untuk diberi. Dengan suara yang lembut, Anah berkata kepada kucing itu bahawa dia tidak mempunyai makanan. Seperti memahami, kucing tersebut berlalu pergi.
Kehidupan di dunia ini menyaksikan perkongsian hidup antara manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan segala macam makhluk ciptaan Tuhan. Perkongsian ini memerlukan kita sesama makhluk haruslah saling hormat menghormati antara satu sama lain. Komunikasi yang berlaku haruslah difahami agar kita dapat hidup aman sentosa kerana kita juga masing-masing memerlukan antara satu sama lain untuk meneruskan hidup kita.
No comments:
Post a Comment