Saturday, January 22, 2011

Retorika

     Jakel merupakan pusat menjual kain-kain sama ada yang sudah siap dijahit mahupun tidak. Jakel mula ditubuhkan di negeri Johor dan kini telah memiliki beberapa buah cawangan di serata Malaysia. Terbaru, pusat perniagaan Jakel yang terbesar telah dibuka di Shah Alam, Selangor. Kesempatan yang ada telah diisi  untuk ke Jakel oleh ibu, kakak, dan diri saya sendiri iaitu pada hari Sabtu yang lepas. 

 Pelbagai jenis kain yang ditawarkan di Jakel

      Hajatnya ingin meninjau kain-kain yang sesuai untuk majlis nikah. Tujuan ingin meninjau-ninjau telah bertukar apabila berlakunya pergolakan retori di pusat tersebut. Saya katakan pergolakan kerana terdapat ramai staf yang bekerja di sana. Mereka semua memang pandai beretorik!

     Retorik secara ringkasnya bermaksud penggunaan bahasa dengan tujuan untuk memujuk dan mempengaruhi orang lain. Hal yang dilakukan oleh para staf di Jakel adalah mereka sangat pandai memujuk dan mempengaruhi pelanggan untuk membeli produk mereka. Kepandaian mereka sehinggakan seseorang yang tidak mempunyai niat membeli, pasti akan terpesong dari niatnya itu. Pandai mereka menggunakan teknik seperti umpan di mana umpan yang digunakan adalah seperti tawaran istimewa, potongan harga, hak keistimewaan dan layanan yang sungguh ramah. Begitulah keadaan di Jakel. Sukar untuk seseorang itu masuk ke dalam bangunan, dan keluar dengan tangan kosong.

     Entahlah. Sukar hendak dikatakan sama ada retorik ini bagus atau tidak. Walau bagaimanapun, setiap perkara itu ada pro dan kontranya. Dalam konteks ini, pro adalah berpihak kepada pekedai. Keuntungan akan berpihak kepada mereka apabila pelanggan membeli barangan mereka. Pro juga kepada pembeli kerana boleh mendapat barangan yang mereka inginkan. Namun, hal ini akan menjadi kontra apabila barangan yang dibeli itu adalah sebenarnya tidak perlu! Bahkan, mungkin hanya akan menjadi pembaziran.

     Oleh itu, kita sebagai pengguna harus bijak mengawal emosi dan minda untuk menentang retorik apabila tidak perlu. Bukan salah pekedai apabila mereka juga mencari sesuap nasi dengan melalui retorik yang mereka cipta. Membeli hanya apabila perlu, dan beringatlah kita untuk tidak membazir.

Tawaran yang sukar ditolak.


No comments:

Post a Comment