Tuesday, March 15, 2011

Perkataan 'jangan' bagi Kanak-kanak

[Gambar: Google]


Peringkat awal kanak-kanak bermula selepas peringkat bayi, iaitu seseorang kanak-kanak itu mula boleh berjalan. Umur kanak-kanak pada peringkat ini ialah satu hingga tiga atau empat tahun. Kanak-kanak pada peringkat ini sudah memulakan pengeksplorasian terhadap alam sekelilingnya untuk belajar. 

Terlalu banyak perkara yang mereka ingin pelajari, sehinggakan tingkah laku mereka ada yang agresif. Maksudnya di sini ialah perlakuannya berlaku secara sangat aktif. Hal ini sebenarnya sangat bagus untuk kanak-kanak pada peringkat ini, kerana perkara ini akan menggalakkan penggunaan minda mereka juga secara aktif. Walau bagaimanapun, sesetengah ibu bapa tidak faham akan hal ini, lalu mereka menganggap bahawa anak mereka itu nakal. Nakal kerana berlari ke sana ke sini, menyapa orang yang tidak dikenali, dan banyak lagi perkara yang sukar dikawal. Oleh itu, terkeluarlah perkataan 'jangan' dari mulut si ayah atau si emak.

'Jangan lari Adam, nanti jatuh!'

Sebenarnya, bagi kanak-kanak, apabila diberi larangan, hal ini hanya akan menggalakkan lagi mereka untuk berbuat sesuatu. Hal ini kerana, mereka belum lagi puas mempelajari sesuatu kerana dibantut oleh larangan tersebut. Oleh itu, mereka akan meneruskan aktiviti mereka tanpa mengendahkan larangan tersebut. Lantaran, ibu bapa sepatutnya tidak membantutkan setiap perlakuan anak mereka yang sedang belajar. Sebaliknya, ibu bapa patut memerhatikan dan mengawasi anak mereka supaya tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Hasilnya, seseorang kanak-kanak itu dapat membesar dengan penuh sesi pembelajaran sendiri sepanjang masa.

Monday, March 14, 2011

Cinta Si Teruna Lombok

      Wanita Malaysia dilarikan ke Lombok? Lombok terletak di Indonesia. Sebenarnya, Lombok merupakan kawasan peranginan yang sangat indah. Saya belum pernah ke Lombok, maksud saya adalah untuk bercuti. Teringin juga untuk ke sana kerana, mari kita rujuk gambar di bawah;

Menarik, bukan? Ada lagi,
Sesiapa sahaja pasti akan terpesona dengan keindahan salah satu pantai peranginan di Lombok, Indonesia ini.

      Mari kita berbalik kepada tajuk asal. Hal inilah yang tidak menyedapkan hati dan telinga yang mendengar. Bukan sekali dua, tetapi sering dilaporkan bahawa ibu bapa mencari anak gadis mereka yang dipercayaai telah dilarikan ke Lombok. Mungkin salah si gadis, atau salah mereka yang melarikan?

      Berpeluang melancong ke Indonesia pada tahun lepas telah memberikan saya maklumat mengenai hal ini. Menurut cerita pemandu pelancong, sememangnya di Lombok, masyarakatnya memiliki suatu adat yang pelik. Hal ini adalah, bagi teruna yang ingin berkahwin, mereka seharusnya menculik anak gadis yang dihajatinya untuk dinikahkan. Ya! Mereka harus menculik. Selepas berjaya diculik, barulah anak gadis itu boleh dinikahi. Hal ini diibaratkan sebagai, untuk mendapatkan bakal isteri, seseorg lelaki itu haruslah boleh menunjukkan kekuatan dan kebijaksaannya untuk memperoleh seorang bakal isteri. Jika gagal menculik, maka lelaki itu gagal dalam misinya. Bagaimana cara menculik? Hal itu tidak diceritakan. Namun, bapa kepada anak gadis akan berasa gembira apabil anaknya berjaya diculik. Seterusnya, para bapa akan membenarkan anak mereka dinikahi.

      Setelah mengetahui cerita ini, apakah yang anda dapat simpulkan? Adakah seratus peratus kesalahan itu perlu diletakkan pada si penculik yang menculik anak gadis Malaysia? Atau seharusnya anak gadis itu yang perlu dipersalahkan? Pada pendapat saya sendiri, hal ini ada pro dan kontranya. Pertama, bukan salah si penculik apabila dia hanya menjalankan adat istiadat yang dipegang sejak dahulu lagi. Namun, salahnya apabila dia menculik anak gadis Malaysia yang sememangnya tidak mengamalkan adat istiadat tersebut. Kedua, sebenarnya salah anak gadis itu sendiri. Pada awal lagi seharusnya mereka tidak berkenalan dan berkawan rapat dengan mereka yang datang dari seberang kerana seharusnya mereka tahu akibat yang akan mereka terima. Para gadis tidak seharusnya mementingkan diri sendiri kerana sudah terang lagi bersuluh yang ibu bapa tidak akan menerima hakikat bahawa anak mereka akan dibawa ke negera seberang. Mereka juga harus sedar bahawa kehidupan mereka di sana juga tidak akan sama lagi seperti yang mereka lalui di negara sendiri. Tambahan pula, tanggungjawab untuk menjadi isteri kepada lelaki Lombok adalah sangat besar kerana dikatakan mereka ini malas untuk bekerja.

      Oleh itu, kita yang ada mata dan ada pemikiran ini, haruslah bijak untuk membuat sesuatu keputusan. Tersilap langkah, kata yang merana. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian, tidak berguna. Janganlah kita terlalu mengikut hati dan rasionallah dalam mengambil tindakan. Semoga tulisan ini dapat memberikan sedikit sebanyak manfaat kepada kita semua.

Friday, March 11, 2011

Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2011

      Malam ini telah berlangsungnya sebuah acara yang cukup membanggakan saya sebagai rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu. Acara ulung itu ialah Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2011 Peringkat Akhir. Acara tersebut telah berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Putrajaya, di Putrajaya. Perkara yang membanggakan ialah majlis pidato ini disertai oleh peserta-peserta dari seluruh dunia seperti Jepun, Australia, Brunei, China, Palestin, German dan Turki. Kesemuanya seramai 59 peserta yang mewakili 54 negara.

      Pidato Antarabangsa ini dengan hanya merujuk kepada tajuknya sahaja, pasti kita sudah dapat mengetahui bahawa pidato ini berjalan hanya dengan menggunakan bahasa Melayu sahaja. Menarik bukan? Ya, hal ini bermaksud setiap  peserta haruslah menyampaikan teks pidatonya dengan menggunakan bahasa Melayu. Alhamdulillah, mereka semua berkeupayaan untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.Namun, pada malam ini hanya ditunjukkan peserta yang terpilih ke peringkat akhir sahaja yang menyampaikan pidato masing-masing. Terdapat dua kategori yang dipertandingkan, iaitu kategori Nusantara dan kategori Antarabangsa. Keputusannya, Malaysia menjuarai kategori Nusantara, manakala peserta dari Turki berjaya menjadi johan bagi kategori Antarabangsa. Tahniah dan syabas kepada pemenang!

      Acara ini saya lihat, antara salah satu tindakan kerajaan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat dunia. Hal ini sememangnya salah satu cara yang saya pelajari di dalam subjek Sosiolinguistik, iaitu tindakan menyebarkan sesuatu bahasa. Apabila sesuatu bahasa itu hendak dikembangkan, maka perlunya individu atau organisasi yang berani memperkenalkan bahasanya, serta mengajar sehingga seseorang atau sesebuah kumpulan itu boleh menerima, dan seterusnya menggunakan bahasa Melayu. 

      Bukan tujuannya henda memelayukan bangsa lain, sebaliknya, hal ini dapat membuktikan bahawa bahasa Melayu senang, dan paling penting boleh diterima oleh manusia di serata dunia. Acara pertandingan Pidato Antarabangsa ini telah membuktikannya. Para peserta akhir tadi sopan dan manis apabila mengenakan busana tradisional Melayu iaitu songket. Mereka tidak kekok mengenakannya. Hal ini juga dapat membuktikan atau sepatutnya dapat membuka mata terutamanya golongan remaja tempatan, bahawasanya bahasa Melayu memiliki standardnya tersendiri. Jika warga asing boleh, mengapa tidak kita sendiri yang bertutur dengan baik dalam bahasa ibunda kita? Oleh itu, diharap dengan adanya acara seumpama ini, bahasa Melayu akan meluas lagi penyebarannya, dan juga anak-anak muda akan lebih menyayangi bahasa ibunda kita, bahasa Melayu.

Sunday, March 6, 2011

Penggunaan Bahasa Perisian Komputer

      Manusia tanpa gajet di alam dewasa kini memang tidak logik. Tidak ada sesiapa di muka bumi ini akan menolak penggunaan teknologi jika mereka mahukan kejayaan di dalam hidup. Hal ini disebabkan oleh manusia kini banyak atau boleh dikatakan sebagai terlalu bergantung kepada teknologi untuk memudahkan segala aktiviti seharian. Hal ini melibatkan alat-alat teknologi seperti telefon bimbit, mesin mengeluarkan duit di bank, alat peminjaman buku automatik, robot memasang enjin kereta, mesin membasuh pakaian dan mesin memerah tebu, sebagai contohnya.

Komputer suatu ketika dulu [Gambar:Google]
Komputer kini. [Gambar:Google]


      Perkara ini tidak mengecualikan teknologi komputer. Komputer adalah alat mudah yang digunakan untuk menyimpan maklumat dan data-data, serta wadah penggunaan internet yang boleh menghubungkan manusia ke serata tempat di dunia ini. Tidak dinafikan bahawa teknologi ini kebanyakkannya bermula di Barat. Oleh itu, tidak mustahillah jika segala perisian di dalam komputer adalah menggunakan bahasa Inggeris. Hal ini telah menyebabkan sehingga manusia sudah sangat terbiasa dengan segala istilah komputer di dalam bahasa Inggeris.

      Namun, baru-baru ini, telah ada kegiatan yang cuba menukarkan penggunaan bahasa Inggeris di dalam komputer kepada bahasa Melayu. Hal ini termasuklah istilah-istilah, bahasa dalam perisian, dan juga tetapan di internet, misalannya. Walaupun kekok di peringkat awal, namun bagi mereka yang mempunyai semangat cintakan bahasa ibunda tetap akan menggunakan bahasa Melayu terutamanya bagi mereka yang agak berusia. Walau bagaimanapun, anak-anak muda juga kini ada yang menggunakan tetapan bahasa Melayu kerana dikatakan lebih mudah untuk memahami istilah-istilah dalam perisian komputer.Contohnya seperti perkara yang saya temui semasa berada di kelas di Bandar Proton, iaitu:

Perisian antivirus dalam bahasa Melayu


      Usaha ini adalah sangat membanggakan dan haruslah disokong oleh rakyat Malaysia sehubungan bahasa Melayu merupakan bahasa Kebangsaan bagi negara Malaysia. Mungkin penerimaannya pada peringkat awal tidaklah menggalakkan, namun pasti lama-kelamaan perkara ini akan diterimapakai oleh rakyat Malaysia. Syaratnya, usaha sebegini tidak terputus, malah diperluas dan dimantapkan lagi penyediaannya. InsyaAllah.

Saturday, March 5, 2011

Mempelajari Bahasa Asing



      Secara tidak sengaja, saya menjumpai video di atas semasa mencari bahan untuk kerja kursus. Mungkin pembaca boleh menyaksikan dahulu tayangan video tersebut untuk memahami isi tulisan saya kali ini. Merujuk pada video, pada minit ke 1:21, kita pasti akan terkejut dan terkesima melihat seorang warga Arab yang bertutur dengan fasih dalam bahasa Melayu. Apa yang mengkagumkan, penutur tersebut bercakap menggunakan loghat Kelantan dengan lancar!

      Menurut beliau, beliau telah belajar bertutur dan membaca dalam bahasa Melayu sejak kira-kira sepuluh tahun yang lepas. Pada peringkat awal, beliau belajar bertutur secara lisan dengan kawan-kawannya. Kemudian barulah beliau belajar melalui pembacaan buku. Beliau mempelajari bahasa Melayu dengan tujuan untuk mengajar orang-orang Melayu mengenai ilmu Islam memandangkan beliau adalah seorang ustat. Selain itu, katanya, orang Melayu susah untuk mempelajari dan memahami bahasa Arab. Oleh itu keputusan itu diambil. 

      Perkara yang menarik saya dapati dari ustat ini ialah, kata-kata beliau iaitu jika mahu pandai belajar sesuatu bahasa, maka seseorang itu haruslah membiasakan diri untuk makan makanan rutin penutur asal bahasa tersebut. Hal inilah yang dilakukan oleh beliau, iaitu beliau suka memakan budu. Hasilnya, kini beliau sangat pandai bertutur dalam bahasa Melayu menggunakan loghat Kelantan dengan begitu fasih. Perkara ini sungguh membanggakan!

      Kesimpulannya, jika kita ingin mempelajari sesuatu bahasa asing, perkara yang penting ialah minat dan juga kesungguhan. Mungkin benar kata ustat tersebut, makanan tempatan juga boleh memberi kesan kepada proses pembelajaran ini. Jika ingin tahu keberkesanannya, mungkin kita boleh mencuba sendiri.

Kersang Lawan Gersang

      
[Gambar:Google]
Pendidikan Bahasa Melayu telah memberikan saya banyak peluang untuk belajar dengan mendalam mengenai tatabahasa bahasa Melayu. Terlalu banyak untuk dihuraikan di sini. Walau bagaimanapun, baru-baru ini saya telah diperkenalkan dengan dua yang berbeza tetapi mempunyai makna yang sama. Mungkin hal ini adalah perkara biasa, kerana terdapat banyak perkataan yang sebegini.  Namun, terdapat sedikit perbezaan pada dapatan ini.

       Dua perkataan tersebut ialah kersang dan gersang. Kedua-dua perkataan ini membawa maksud tanah yang kering kontang, tidak lembab. Perkataan yang biasa kita gunakan untuk tanah yang kering ialah gersang. Namun, dalam bidang geografi, perkataan yang digunakan ialah kersang. Di situlah berlakunya perbezaan antara kedua-dua perkataan tersebut.

      Dapat disimpulkan bahawa, perbezaan fonem dan fonetik bagi kedua-dua perkataan yang memiliki maksud yang sama ini hanyalah kerana perbezaan bidang penggunaannya iaitu dalam bidang geografi dan juga penggunaannya dalam percakapan biasa kita seharian. Berlakunya perbezaan ini mungkin kerana pihak-pihak tertentu ingin menunjukkan perbezaan  keistimewaan bahasa dalam bidang mereka masing-masing berbanding istilah biasa yang digunakan dalam pertuturan seharian. Contoh lain yang boleh saya berikan ialah, dalam bidang sains, alatan dipanggil dengan nama khas iaitu radas.

Friday, March 4, 2011

Yang Dimuliakan



Semestinya pelajar-pelajar semester enam dan tujuh di Universiti Pendidikan Sultan Idris kini sedang pening memikirkan soal praktikum. Mana tidaknya, penempatan kami masih belum ditetapkan lagi. Berikutan hal itu, pihak pentadbir atasan telah mengambil tindakan untuk mengadakan sesi taklimat praktilum dan soal jawab bersama mereka.
Turut hadir ialah Naib Canselor UPSI, Dato’ Aminah Ayub.Telah berlaku perubahan yang besar untuk sesi praktikum kami ini, oleh itu, tentulah banyak masalah yang timbul.  Alhamdulillah, sesi taklimat dan soal jawab ini berjalan dengan lancar dan sedikit-sebanyak dapat menguraikan kekusutan kami para pelajar yang terlibat.
Walau bagaimanapun, pada awal ucapan Dato’ Aminah, beliau telah menyebut ‘Yang Mulia’ kepada para jemputan VIP yang berada di atas pentas. Pelik, kerana saya berpendapat semua orang tahu bahawa hal ini adalah salah, namun tidak bagi Dato’ Aminah. Mengapa salah? Hal ini demikian kerana panggilan ‘Yang Mulia’ hanyalah ditujukan kepada Kerabat DiRaja sahaja. Oleh itu, ‘Yang Mulia’ tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan kepada individu lain.
Oleh itu, haruslah ada individu yang menegur kesalahan ini supaya perkara tersebut tidak dianggap betul dan terus dilakukan. Dato’ Aminah merupakan Naib Canselor yang sentiasa menjadi wakil UPSI ini,. Oleh yang demikian, kesalah bahasa yang beliau lakukan, pasti akan dapat dikesan oleh orang lain.